Wednesday, October 17, 2018

PERANAN FATWA DALAM ISU BERKAITAN AKIDAH UMAT ISLAM DI MALAYSIA

PENGENALAN

Islam adalah agama yang amat mementingkan akidah Islam. Akidah adalah perkara pertama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w untuk mengubah kepercayaan masyarakat Arab Jahiliyyah kepada keimanan kepada Allah s.w.t. Keutamaan akidah ini terserlah melalui intipati ayat-ayat Makki yang diturunkan pada tiga belas tahun pertama perutusan Nabi Muhammad s.a.w ketika berdakwah di Mekah. Malahan, kunci kepada anutan agama Islam adalah akidah yang menjadi akar kepada ajaran Islam. Seorang yang rosak akidah boleh membawa kepada kesyirikan dan gugur iman. Manakala orang yang dengan sengaja merosakkan imannya atau menggugurkan akidah boleh dihukum dengan berat dalam Islam melalui kesalahan murtad. (Sulong, 2016)

Akidah merupakan tunggak keimanan kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya. Akidah yang utuh bagi seorang Muslim ialah yang melibatkan kepercayaan dengan rukun Iman dan demikianlah sebaliknya. Pada hari ini, ancaman ke atas akidah umat Islam semakin bertambah apabila dunia menjadi semakin terbuka melalui hubungan sosial yang meluas, kemajuan internet dan kemudahan maklumat. Pemikiran yang bercanggah dengan akidah Islam seperti sekular, liberal dan Syi’ah mula merebak ke atas generasi muda umat Islam. Umat Islam dikelirukan dengan bahan-bahan yang telah diselewengkan dengan memanipulasikan nas syarak. 

Justeru, kerajaan telah mengambil langkah pro-aktif dengan menggubal undang-undang yang khusus dalam menangani gejala ini. Langkah menangani ini bukan sahaja melalui tindakan kerajaan melalui langkah-langkah pencegahan pentadbiran (sad zara’i’), tetapi juga berlaku melalui penguatkuasaan undang-undang melalui statut dan fatwa sama ada di peringkat persekutuan atau negeri. Oleh kerana di Malaysia, bidangkuasa undang-undang mengenai agama adalah terletak pada negeri masing- masing, maka usaha yang lebih jitu dan langsung adalah dimainkan oleh negeri melalui Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam, Mahkamah Syariah dan Jabatan Mufti. 

Berdasarkan penelitian, terdapat negeri-negeri yang menggubal undang-undang berkaitan akidah seperi Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam dan terdapat juga negeri yang tidak menggubal undang-undang tersebut seperti Pulau Pinang. Namun penguatkuasa sekatan ini masih boleh ditangani melalui peruntukan kesalahan jenayah syariah dan fatwa oleh Mufti Negeri. (Sulong, 2016)

Tugasan ini adalah bertujuan bagi menganalisis secara kritis dan analitikal isu fatwa-fatwa berkaitan dengan isu akidah. Perbincangan ini dibahagikan kepada enam bahagian iaitu pengenalan yang menjelaskan secara ringkas berkenaan dengan kepentingan akidah yang benar dalam Islam serta institusi yang terlibat dalam menangani gejala memanipulasi akidah ummat Islam. Bahagian kedua pula menjelaskan secara terperinci berkenaan dengan asas akidah Ahli Sunnah Wa Al Jamaah (ASWJ) yang menjadi pegangan akidah ummat Islam di Malaysia pada hari ini. Bahagian ketiga akan meneliti dan membincangkan beberapa contoh fatwa berkaitan akidah di Malaysia sejak lima tahun kebelakangan ini. Bahagian seterusnya akan melihat kepada keperluan terhadap pengeluaran fatwa berkaitan akidah oleh Majlis Mufti tersebut. Bahagian kelima akan melihat dan menjelaskan kepada peranan atau sejauh manakah fatwa berkaitan akidah memberi kesedaran kepada masyarakat di Malaysia yang mendepani pelbagai cabaran berkaitan isu akidah pada hari ini.  Bahagian terakhir dalam perbincangan ini adalah rumusan dan kesimpulan secara keseluruhan berkenaan dengan hubungkait akidah yang sebenar yang menjadi sandaran Islam dengan fatwa-fatwa khusus berkaitan akidah yang menyeleweng dengan ajaran Islam yang sebenar.

ASAS AKIDAH AHLI SUNNAH WA AL-JAMAAH

Sebelum melihat kepada asas akidah Ahli Sunnah Wa al-Jamaah (ASWJ), kita perlu mengenali apakah yang dikenali sebagai ASWJ. Al-Quran dan hadith telah menyatakan bahawa di akhir zaman terdapat hanya satu golongan umat Islam sahaja yang dijanjikan selamat yang digambarkan melalui hadith bernombor 2641 riwayat Imam Tirmidhi di dalam Kitab al-Iman, Bab Ma Jaa fi Iftiraq Hazihi al-Ummah Rasulullah S.A.W yang bermaksud:-

"Dari Abdullah bin Amru: “… Dan sesungguhnya Bani Israil berpecah menjadi tujuh puluh dua millah (golongan), semuanya di neraka kecuali satu millah saja dan ummatku akan terpecah menjadi tujuh puluh tiga millah, yang semuanya di neraka kecuali satu millah. (Para sahabat) bertanya, “Siapa mereka wahai Rasulullah?” baginda S.A.W menjawab, “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.”

Terdapat beberapa hadith lain yang juga menyebut berkenaan perpecahan umat Islam di akhir zaman. Daripada hadtih-hadith tersebut dapat difahami bahawa umat Islam di akhir zaman akan berpecah kepada kumpulan yang banyak dan hanya satu kumpulan sahaja yang dijamin selamat di akhirat kelak. Keselamatan kumpulan ini dijamin kerana mengikut clan menghayati ajaran Raulullah S.A.W. dan para sahabat dalam semua aspek kehidupan. Ulama hadith menghuraikan golongan yang selamat itu adalah mereka yang mengikut cara hidup Rasulullah S.A.W dan para sahabat.

Dalam frasa Ahli Sunnah Wa al-Jamaah (ASWJ), menurut Kamus Dewan 1993, ‘ahli’ didefinisikan sebagai anggota sesebuah pertubuhan, persatuan atau golongan. Menurut Dr. H. Aboe Bakar Acheh di dalam bukunya bertajuk Perbandingan Mazhab Ahli Sunnah Wa a-Jamaah, ‘Sunnah’ dari sudut istilahnya pula diberi maksud oleh ulama hadith sebagai apa yang diriwayatkan dari Rasulullah S.A.W berupa ucapan, perkataan, penetapan, peribadi, akhlak dan riwayatnya sama ada sebelum atau selepas kerasulan baginda S.A.W. Manakala ‘jamaah’ sebagai satu kelompok yang besar iaitu kumpulan manusia yang kebanyakannya bersepakat dalam mentaati pemerintah dan mengikut jalan yang lurus. 
Ibn Taimiyyah berpendapat akidah ASWJ merangkumi akidah salafiah (orang terdahulu) iaitu akidah kaum muslimin yang selamat dari perkara bid'ah, disepakati ijmak yang jelas bersumberkan dari al-Quran dan al-Sunnah.

Oleh itu, ASWJ merupakan kelompok besar umat Islam bermula dari para sahabat tanpa ada akhirnya meliputi para llmuan dan ahli ijtihad yang memegang akidah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W dan akidah para sahabat. Mereka menjadikan al-Quran clan sunnah Rasulullah S.A.W serta ijtihad sebagai panduaan dalam kehidupan. Perlu juga dinyatakan bahawa gelaran ASWJ tidak digunakan pada zaman sahabat dan para tabi’in bagi membezakan golongan yang benar dengan golongan bid'ah atau kelompok sesat. Ia hanya digunakan dengan meluas pada abad 3 dan 4 hijrah iaitu kesan dari kemunculan beberapa mazhab atau aliran yang menyeleweng dari Islam.(Ahmad, Rudshi, & Abdul Fatah, n.d.)

Antara pelopor awal kepada ajaran ini ialah Syeikh Abu Hassan al-Asha’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Dalam kebanyakan penulisan menyatakan, penggunaan nama ASWJ telah dimasyhurkan oleh dua orang tokoh tersebut. Pengikut mereka kemudiannya dikenali sebagai al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah. Al-Asha'ari menghadapi golongan Muktazilah di Iraq manakala al-Maturidi pula berhadapan dengan golongan Muktazilah di Samarqand, Asia Tengah.

Al-Baghdadi mejelaskan dalam al-Farqu Baina al-Firaqbahawa golongan yang ke-73 yang terselamat atau apa yang disebutkan sebagai “apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya” adalah merujuk kepada ASWJ yang merangkumi ahl al-Hadith dan ahl al-Ra’y yang bersepakat tentang perkara tauhid, sifat Allah S.W.T yang bebas daripada tasybih dan ta’til, memperakui segala isi kandungan kitab Allah S.W.T dan tidak menghalalkan yang haram atau sebaliknya. Seterusnya al-Baghdadi menjelaskan pembahagian ASWJ kepada lapan bahagian iaitu:- (Badhrulhisham, 2016)

1)   Mereka yang terdiri daripada ahli ilmu tauhid dan ilmu kalam termasuklah yang dikatakan sebagai sifatiyyah yang bebas dari segala unsur tasybih, ta’til dan bid’ah golongan Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najjariah dan sebagainya.
2)   Mereka yang terdiri daripada imam fiqh sama ada yang cenderung kepada aliran ahl al-ra’y mahupun aliran ahl al-hadith. Mereka ini berkeyakinan kepada perkara usuluddin dengan aliran sifatiyah yang membicarakan sifat-sifatNya yang azali tanpa tasybih dan ta’til yang bebas daripada unsur Qadariyah dan Muktazilah. Mereka ini termasuklah Imam Malik, Imam al-Syafi’ie, al-Auza’ie, al-Thauri, Abu Hanifah, Ibn Abi Laila, pengikut al-Thaur, pengikut Ahmad bin Hanbal, ahli al-Zahir. Dan mereka ini tidak mencampurkannya dengan apa-apa daripada ahli bid’ah dan hawa nafsu.
3)   Mereka yang menguasai bidang ilmu periwayatan hadis dan sunnah Nabi S.A.W. Mereka boleh membezakan yang sahih dan batil, mengetahui sebab al-jarh wa ta’dil (kredibiliti perawi), dan mereka tidak memasukkan apa-apa pun ke dalam ilmu mereka daripada perkara bid’ah yang menyesatkan.
4)   Mereka yang menguasai ilmu berkenaan bahasa Arab dan sasteranya, antaranya ilmu Nahu dan sarf. Mereka adalah pakar bahasa antaranya ialah al-Khalil, Abu ‘Amr bin al-‘Ala, Sibawaih, al-Farra’, Akhfash, al- Asma’I, al-Mazini, Abu Ubaid dan seluruh imam nahu sama ada ulama Basrah atau Kufah yang tidak mencampurkan sesuatu ke dalam ilmu mereka sesuatu daripada bid’ah Qadariah, Rafidhah atau Khawarij. Maka sekiranya mereka cenderung ke arah nafsu dan kesesatan maka ia bukanlah termasuk golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah, walaupun kata-katanya adalah hujah dalam ilmu bahasa.
5)   Mereka yang menguasai ilmu berkenaan qiraat untuk al-Quran dan tafsir al-Quran, penakwilannya adalah berasaskan mazhab-mazhab ahli sunnah tanpa berpegang dengan penakwilan ahli nafsu yang sesat.
6)   Mereka adalah para zuhud sufi yang memerhatikan maka ia mendapat ilmu, yang diuji maka diambil iktidar daripadanya, redha dengan keteapan ke atasnya, mengetahui bahawa segala penglihatan, pendengaran dan hati akan dipertanggungjawabkan dan dihisab dengan neraca kelak. Mereka menafikan tasybih, mazhab mereka adalah tafwidh(penyerahan terhadap Allah) kepada Allah, bertawakkal kepadaNya, penyerahan kepadaNya, tenang dengan apa yang direzekikanNya.
7)   Mereka yang berada di barisan hadapan dalam jihad melawan musuh-musuh Islam, menjaga kesucian Islam, sanggup meninggalkan rumah dan isteri mereka dan jelas pada mereka mazhab ASWJ.
8)   Negara yang zahir kebanyakan syiar Ahli Sunnah Wal Jamaah di dalamnya, bukannya syiar ahli hawa nafsu yang sesat.

ASWJ telah menggariskan beberapa prinsip yang telah disepakati. Prinsip-prinsip tersebut dijadikan pegangan bagi setiap pengikut ASWJ kerana aliran pemikiran yang sesat sentiasa wujud disepanjang zaman. Antara prinsip-prinsip yang disepakati ialah:- (Ahmad et al., n.d.)

1)   Membenarkan sifat-sifat Allah tanpa mempersoalkan bentukNya serta mensucikanNya dari persamaan dengan makhluk. 
2)   Menetapkan al-Quran adalah kalamullah bukannya makhluk. 
3)   Menyakini Allah tidak boleh dilihat oleh sesiapa pun dalam kehidupan di dunia. Orang-orang mukmin akan dapat melihat Allah di syurga dengan kedua mata mereka. 
4)   Beriman dan membenarkan kehidupan selepas kematian sebagaimana yang telah disampaikan oleh Rasulullah S.A.W. 
5)   Beriman dengan qadar Allah SWT dengan segala tingkatnya sama ada baik atau buruk. 
6)   Beriman bahawa Allah SWT Maha Mengetahui semua perbuatan manusia berdasarkan ilmuNya yang qadim dan azali. 
7)   Iman adalah ucapan dan perbuatan yang boleh bertambah dan berkurangan. 
8)   Iman mempunyai perkara pokok (أصل) dan cabang (فرع). Iman seseorang tetap terpelihara selagi tidak menyeleweng dalam perkara pokok. Oleh itu tidak menjadi kafir seseorang yang melakukan kemaksiatan kecuali dia menidakkan perkara pokok dalam iman.
9)   Bersepakat kemungkinan berkumpul antara seksaan dan pahala ke atas seseorang di akhirat kelak. 
10)Mencintai dan mendukung sahabat Rasulullah S.A.W, ahli keluarga dan isteri-isteri baginda. Namun sifat maksum hanya layak untuk Rasulullah S.A.W tanpa melibatkan sahabat, ahli keluarga dan isteri-isteri baginda dan S.A.W.
11)Membenarkan adanya karamah dm kejadian-kejadian luar biasa yang diberikan oleh Allah kepada para wali. 
12)Bersepakat untuk memerangi sesiapa yang keluar dari syariat Islam walaupun dia mengucapkan dua kalimah syahadah.
Selain daripada prinsip yang digunakan di dalam pegangan ASWJ, terdapat ciri ASWJ di dalam perkara akidah dan hukum antaranya ialah:- (Ahmad et al., n.d.)

1)   Ahli Sunnah wal Jamaah menjadikan akhlak Rasulullah S.A.W sebagai ikutan sekaligus menjadikan mereka sebaik-baik umat.
2)   Menghukum menggunakan al-Quran dan sunnah. 
Mengambil dan mendahulukan al-Quran dan sunnah sebagai neraca dalam setiap perkara yang berkaitan dengan akidah.
3)   Menerima kata-kata dan pandangan para sahabat. 
Memuliakan para sahabat kerana mereka merupakan orang yang paling hampir dengan Rasulullah S.A.W. Oleh itu mereka menerima kata-kata dan pandangan para sahabat dalam menerangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama amnya dan yang berkaitan dengan akidah khususnya. Pandangan sahabat ini merangkumi ijma’ dan qias.
4)   Menyeru kepada jemaah muslimin. 
Umat Islam disarankan supaya hidup dalam jemaah muslimin agar kesucian akidah mereka terpelihara. Sentiasa berusaha membentuk jemaah muslimin dan memellhara keutuhannya demi menjamin kemurnian akidah umat Islam daripada ancaman golongan bid'ah yang sesat.
5)   Melakukan amar ma 'ruf dan nahi munkar. 
ASWJ menyedari kewajipan menyeru dan melakukan amalan yang baik serta dalam masa yang sama bertanggungjawab mencegah dan meninggalkan kemungkaran.

ASWJ mempunyai manhaj yang jelas di dalam akidah dan hukum. Mereka telah meletakkan al-Quran, hadith dan ijma’ sebagai sumber utama di dalam akidah dan hukum hakam, sementara akal yang sejahtera dan fitrah yang murni sebagai sumber pelengkap kepada akidah. Kaedah ini sekaligus menolak perkara-perkara bid'ah yang sentiasa muncul di sepanjang zaman (Ahmad et al., n.d.). Ahli Sunnah mengajarkan bahawa orang-orang yang menunjukkan amalan dan pegangannya dalam Ahli Sunnah ialah mereka yang bebas daripada amalan-amalan dan pegangan-pegangan golongan-golongan yang terkeluar daripada Islam, dan yang terdiri daripada mereka yang mengikut hawa nafsu, walaupun mereka dinisbahkan kepada Islam seperti Qadariah, Syi’ah Rafidah, Murjia’ah, Khawarij dan Mujassimah (El-Muhammady, 2011).

FATWA BERKAITAN AKIDAH DI MALAYSIA

Institusi fatwa sentiasa menjadi rujukan bagi umat Islam di Malaysia. Terdapat pelbagai fatwa yang diputuskan dalam berbagai bidang kehidupan sama ada muamalat, ibadat hinggalah ke bidang sains dan teknologi. Ini menunjukkan institusi fatwa mempunyai peranan yang signifikan dalam masyarakat Islam di Malaysia (Rosele, Hj. Abdullah, Hj. Ismail, & Ramli, 2013).

Fatwa berkaitan dengan akidah atau kesalahan berkait dengan akidah umat Islam antara fatwa yang dominan dikeluarkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini oleh mufti di peringkat negeri masing-masing antaranya ialah:-

1)   Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 bertarikh 7 Oktober 2013 telah mengeluarkan Fatwa Sighah Berkaitan Ajaran Syi’ah Di Negeri Selangor [MAIS/SU/BUU/01-2-002-2013-4(3)]
-      Pindaan [MAIS/SU/BUU/01-2/002/2016-5(1); P.U. Sel. PS. 05/4/12] bertarikh 4 April 2018 berkenaan dengan memotong perkataan “sighah” dan memotong perenggan 1(xxii) pada fatwa yang dikeluarkan pada 7 Oktober 2013.

2)   Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 bertarikh 11 September 2015 telah mengeluarkan Fatwa Mengenai Ajaran Millah Abraham @ Ibrahim Di Negeri Selangor [MAIS/SU/BUU/01- 2/002/2014-3(2); P.U. Sel (ADV) PS 05/4/12] 
-      Pindaan [MAIS/SU/BUU/01-2/002/2014-3(2); P.U. Sel. PS. 05/4/12] bertarikh 4 April 2018 berkenaan dengan menggantikan perenggan 1(i) dengan perenggan berikut:
“(i) membawa ajaran Islam baharu kerana mendakwa ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah lama jatuh dan ajaran Islam yang dibawa oleh para ulama’ adalah ajaran Islam yang palsu;”

3)   Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-20 & 21/2016 pada 18-19 Februari 2016 / 9-10 Jamadil Awwal 1437H telah mengeluarkan Fatwa Berkaitan Ahbash.
4)   Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 bertarikh 4 April 2018 [MAIS/SU/BUU/01-2/002/2014-2(1); P.U. Sel. Ps. 05/4/12] telah mengeluarkan Fatwa Ajaran Dan Fahaman Ilmu Makrifat (Mengenal Allah) Dan Ajaran Dan Fahaman Mengenal Diri Iaitu Ilmu Atau Ajaran Peninggalan Tok Kenali Kelantan Oleh Mohd Yusof Che Wook.

Ø  Fatwa Sighah Berkaitan Ajaran Syi’ah Di Negeri Selangor
Syi’ah adalah merupakan antara fahaman yang menyeleweng dengan akidah ASWJ yang menjadi i’tikad fahaman akidah umat Islam di dunia amnya dan di Malaysia khususnya. Antara fahaman Syi’ah yang bertentangan dengan ASWJ ialah dengan membawa fahaman dan ajaran sebagaimana berikut:-

i.                Mempercayai bahawa Imam adalah Maksum.
ii.         Mempercayai kemunculan Muhammad bin Hassan Al-Askari sebagai Imam Mahdi bersama kumpulan orang yang telah mati untuk memberi keadilan.
iii.       Mempercayai hanya Sayyidina Ali sahaja yang menghimpun al-Qur`an dengan sempurna dan menolak al-Qur`an yang disusun oleh para sahabat Nabi serta mempercayai bahawa al-Qur`an yang sebenar mengandungi tujuh belas ribu ayat kerana berlakunya penyelewengan melalui pengurangan atau penambahan ayat-ayat al-Qur`an.
iv.        Mengamalkan prinsip al-Taqiyyah iaitu menyembunyikan hakikat aqidah, kepercayaan dan amalan yang menjadi pegangan serta perbuatan yang ingin dilakukan.
v.         Sayyidina Ali disamatarafkan dengan Allah S.W.T. 
vi.        Menghalalkan atau mengamalkan Nikah Mut‘ah.
vii.      Mempercayai Khalifah dan Imamah adalah sebahagian dari Rukun Islam dan diwasiatkan secara nas.
viii.    Mempercayai Ilmu Allah berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia.
ix.        Mengkafirkan para sahabat Rasulullah S.A.W.
x.         Menuduh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Mu’awiyah sebagai empat berhala Quraisy serta pengikut-pengikutnya adalah musuh Allah.

xi.        Menambah Syahadah seperti berikut: 
أشهد أن لا إله إلا الله
أشهد أن محمدا رسول الله
أشهد أن عليا أمير الموءمنين حقا
xii.      Menolak hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat Rasulullah S.A.W sekalipun hadith mutawatir dan hanya menerima hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Imam-Imam Syi’ah.
xiii.    Menolak Ijma’ Ulama’.
xiv.     Menolak Qiyas.
xv.      Menolak ‘Aul dan mendahulukan Qurabah dari ‘Asobah dalam pembahagian harta pusaka.
xvi.     Mempercayai bahawa menziarahi kubur Sayyidina Husain akan mendapat ganjaran syurga.
xvii.   Menyeksa tubuh badan sempena 10 Muharram.
xviii. Mengharuskan solat jama’ dalam semua keadaan.
xix.     Mengharamkan solat Dhuha.
xx.      Menetapkan prinsip Khumus sebagai kadar zakat.
xxi.     Menetapkan Islam bukan syarat wajib haji.
xxii.   Mewajibkan membasuh dan menyapu kedua-dua kaki ketika berwuduk. 

Bertitik-tolak daripada ajaran dan fahaman salah yang bertentangan dengan fahaman ASWJ ini, Majlis Fatwa negeri Selangor antaranya telah mengeluarkan fatwa sebagaimana berikut:-

i.                mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang untuk berpegang atau menjadi pengikut ajaran Syi’ah dan sesiapa yang sengaja melakukannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

ii.      mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang berada di dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman Syi’ah dan sesiapa yang sengaja melakukannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

iii.      mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengisytiharkan diri sebagai orang yang bermazhab Syi’ah melalui pengakuan bersumpah atau apa-apa kaedah lain adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

iv.     mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang menjadi ahli atau pengikut Syi’ah dengan berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat, yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman Syi’ah, adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

v.         mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang cuba menghidupkan kembali ajaran dan fahaman Syi’ah sama ada melalui apa-apa rangkaian, atau mana-mana pertubuhan atau persatuan yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman Syi’ah adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

vi.        mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengajar, menganjur, mengadakan, membantu menjayakan apa- apa perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman Syi’ah adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

vii.      apa-apa variasi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman Syi’ah adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

viii.    apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman Syi’ah atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman Syi’ah dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, facebook, twitteratau media sosial lain adalah diharamkan.

ix.     mana-mana orang Islam adalah juga dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman audio, risalah, buku-buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah atau apa-apa dokumen; menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda- tanda yang boleh mengaitkan ajaran dan fahaman Syi’ah. Dan semua pihak adalah dilarang dan ditegah daripada memberi apa jua kemudahan, sumbangan dan bantuan kepada golongan Syi’ah ini daripada mengamalkan, menyebarkan dan mengembangkan fahaman dan ajaran Syi’ah di negeri Selangor.

x.         mana-mana orang Islam yang melakukan perkara-perkara di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di negeri Selangor.

Terdapat pula pindaan daripada fatwa ini pada 4 April 2018 dengan pindaan sebagaimana berikut:-

i.                memotong perkataan “sighah” pada tajuk Fatwa tersebut; dan
ii.         memotong perenggan 1(xxii) berkenaan dengan kewajipan membasuh dan menyapu kedua-dua kaki ketika berwudhuk.

Ø  Fatwa Mengenai Ajaran Millah Abraham @ Ibrahim Di Negeri Selangor
Ajaran Millah Abraham @ Ibrahim ialah juga merupakan ajaran yang bertentangan dan menyeleweng dengan ajaran Islam. Antara bentuk ajaran di dalam fahaman ini yang bertentangan dengan ajaran Islam ialah:-

i.                membawa ajaran dan kerajaan baharu (Millah Abraham @ Ibrahim);
ii.         mendakwa ada rasul selepas Nabi Muhammad S.A.W;
iii.       mensyirikkan golongan yang tidak mengikuti ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;
iv.        menggabungkan tiga (3) ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi;
v.         menyalahertikan maksud kiamat;
vi.        memahami al-Quran mengikut tafsiran sendiri;
vii.      tidak melaksanakan solat lima waktu dan solat Jumaat; atau
viii.    taksub kepada ajaran sehingga sanggup memutuskan hubungan keluarga dan suami isteri sekiranya tidak mengikuti fahaman dan ajaran ini.

Ekoran daripada ini, fatwa berkenaan dengan ajaran dan fahaman salah ini telah difatwakan di negeri Selangor dengan menyatakan mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan untuk berpegang kepada fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim termasuklah:-

i.                menjadi pengikut kepada fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;
ii.         berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;
iii.       mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya melalui pengakuan bersumpah atau apa-apa kaedah lain.
iv.        berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat, yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;

v.         melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang cuba menghidupkan kembali fahaman dan ajaran mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;
vi.        mengajar, menganjur, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;
vii.      memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman, audio, risalah, buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah atau apa-apa dokumen menggunakan apa-apa bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan fahaman dan ajaran mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;
viii.    telah berbai’ah (taat setia) dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim; atau
ix.        mengamalkan, menyebarkan dan mengembangkan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim di Negeri Selangor.

Fatwa ini turut menjelaskan beberapa perkara seperti berikut:-

i.     Mana-mana orang Islam yang telah berbai’ah atau mengamalkan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim adalah disifatkan bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar dan hendaklah segera bertaubat serta memohon kemapunan kepada Allah S.W.T.
ii.   Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.
iii.  Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, facebook, twitteratau media sosial lain adalah diharamkan.
iv.  Mana-mana orang Islam yang melakukan perkara-perkara di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa.

Perenggan 1(i) di dalam fatwa ini berkenaan dengan frasa ‘membawa ajaran dan kerajaan baharu’ telah dipinda pada 4 April 2018 dengan menggantikan ayat di dalam perenggan tersebut kepada:-

“(i) membawa ajaran Islam baharu kerana mendakwa ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah lama jatuh dan ajaran Islam yang dibawa oleh para ulama’ adalah ajaran Islam yang palsu;”.

Ø  Fatwa Berkaitan Ahbash Di Negeri Perlis
Islam adalah agama yang menyeru perdamaian dan islah antara manusia dan mengamalkan agama tanpa bersifat melampau. Islam melarang dari bersikap mudah mengkafir dan menyesatkan sesama muslim di atas sangkaan. Demikian Islam juga melarang mengubah tujuan perkataan atau tulisan pihak lain di atas perkara yang tidak mereka maksudkan. 

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-20 & 21 Tahun 2016 yang bermesyuarat pada 18 sehingga 19 Februari 2016 telah merumuskan bahawa Ahbash adalah aliran yang diasaskan oleh Abdullah al-Harari al-Habashi yang mendakwa mereka beraliran Asya’irah, tetapi aliran Ahbash ini adalah sesat dan melampau (ghulu) dalam menghukum pihak lain. Asas kesesatan mereka bukan kerana aliran Asya’irah yang dipegang, tetapi kerana sifat melampau (ghulu) dalam mengkafir dan menyesatkan pihak yang berbeza. Mereka juga mengamalkan pendekatan mengutuk, mencerca dan memalsukan kalam pihak yang berbeza dengan mereka. Mereka telah mengkafirkan tokoh-tokoh ulama silam seperti Ibn Taimiyyah, Ibn al- Qayyim, al-Zahabi dan ulama semasa seperti al-Qaradhawi, al-Buthi, Ibn Baz, Ibn ‘Uthaimin, al-Albani, Mutawali al-Sya’rawi, Sayyid Qutb dan selainnya.

Setelah meneliti fatwa-fatwa para ulama di peringkat antarabangsa seperti Dar al-Ifta’ Mesir (Majlis Fatwa Mesir), Majlis Fatwa Arab Saudi, fatwa Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Dr Wahbah al-Zuhaili, Dr Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthi dan lain-lain. Maka dengan itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berpendapat bahawa aliran Ahbash adalah salah satu daripada aliran yang melampau, sesat dan menyesatkan. Kewujudannya dalam kalangan masyarakat Islam amat merbahaya. Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berpandangan bahawa aliran ini hendaklah dicegah dari dipegang dan disebarkan.

Ø  Fatwa Ajaran Dan Fahaman Ilmu Makrifat (Mengenal Allah) Dan Ajaran Dan Fahaman Mengenal Diri Iaitu Ilmu Atau Ajaran Peninggalan Tok Kenali Kelantan Oleh Mohd Yusof Che Wook (Selangor).
Berikut adalah merupakan petikan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 4 April 2018 dan telah diwartakan.

1.     Ajaran dan Fahaman Ilmu Makrifat (Mengenal Allah) dan Ajaran dan Fahaman Mengenal Diri Iaitu Ilmu atau Ajaran Peninggalan Tok Kenali Kelantan oleh Mohd Yusof Che Wook adalah bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar kerana mengandungi elemen-elemen seperti yang berikut:-

           i.    Berpegang kepada konsep Wahdatul Wujud;
          ii.   Berpegang kepada fahaman Jabbariah;
        iii.    Menafsir ayat al-Quran mengikut logik akal
        iv.    Berpegang kepada konsep Nur Muhammad;
          v.    Cuba menyebarkan fahaman pluralisme agama; dan
        vi.    Pembahagian ilmu syariat, hakikat dan makrifat yang meragukan.

2.     Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang untuk beramal dengan ajaran tersebut atau berpegang kepada buku bertajuk “Ilmu Makrifat dan Mengenal Diri Peninggalan Tok Kenali Kelantan” oleh Shaari bin Hj. Mohd Yusoff atau menjadi pengikut kepada ajaran tersebut atau buku tersebut atau apa-apa buku atau risalah lain yang mempunyai persamaan dengan ajaran tersebut atau buku tersebut dan sesiapa yang sengaja melanggar larangan ini adalah disifatkan sebagai mengamalkan ajaran pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

3.     Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang:-
                i.         berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan ajaran tersebut atau buku tersebut atau apa-apa buku atau risalah lain yang mempunyai persamaan dengan ajaran tersebut atau buku tersebut;
               ii.        mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan ajaran tersebut atau buku tersebut atau apa-apa buku atau risalah lain yang mempunyai persamaan dengan ajaran tersebut atau buku tersebut melalui pengakuan bersumpah atau apa-apa kaedah lain;
             iii.        menjadi ahli atau pengikut kepada mereka yang berpegang dengan ajaran tersebut atau buku tersebut atau apa-apa buku atau risalah lain yang mempunyai persamaan dengan ajaran tersebut atau buku tersebut dengan berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui apa-apa pertubuhan, persatuan atau syarikat, yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran tersebut atau buku tersebut; atau apa-apa buku atau risalah lain yang mempunyai persamaan dengan ajaran tersebut atau buku tersebut;
             iv.         cuba menghidupkan kembali ajaran tersebut dan fahaman buku tersebut atau apa-apa buku atau risalah yang mempunyai persamaan dengan ajaran tersebut atau buku tersebut sama ada melalui apa-apa pertubuhan, persatuan, syarikat atau apa-apa rangkaian yang mempunyai unsur- unsur persamaan dengan ajaran tersebut atau fahaman buku tersebut;
               v.        mengajar, menganjurkan, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan ajaran tersebut atau buku tersebut atau apa-apa buku atau risalah lain yang mempunyai persamaan dengannya;
             vi.         memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman audio, risalah, buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah atau dokumen menggunakan apa-apa bentuk lambang, rajah atau tanda yang boleh dikaitkan dengan ajaran tersebut atau buku tersebut atau apa-apa buku atau risalah lain yang mempunyai persamaan dengan ajaran tersebut atau buku tersebut; atau

            vii.        memberi apa-apa jua kemudahan, sumbangan dan bantuan kepada mereka yang berpegang dengan ajaran tersebut atau buku tersebut atau apa-apa buku atau risalah lain yang mempunyai persamaan dengan ajaran tersebut atau buku tersebut daripada mengamalkan, menyebarkan dan mengembangkan fahaman dan ajaran kumpulan tersebut di Negeri Selangor.

4.     Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan ajaran tersebut atau buku tersebut atau apa-apa buku atau risalah lain yang mempunyai persamaan dengan ajaran tersebut atau buku tersebut atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur- unsur ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan ajaran tersebut atau buku tersebut atau dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, Facebook, Twitteratau media sosial lain adalah diharamkan.

5.     Mana-mana orang Islam yang melakukan perkara yang dinyatakan dalam subperenggan 3(i) hingga (vii) di atas atau salah satu daripadanya adalah disifatkan sebagai mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

6.     Mana-mana orang Islam yang melakukan perkara yang dinyatakan dalam perenggan 3 hingga 5 di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Selangor.

7.     Mana-mana orang Islam yang telah mengambil ijazah dan mengamalkan ajaran buku “Ilmu Makrifat dan Mengenal Diri Peninggalan Tok Kenali Kelantan” oleh Shaari bin Hj. Mohd Yusoff atau mereka yang berpegang dengan ajaran tersebut atau buku tersebut atau apa-apa buku atau risalah lain yang mempunyai persamaan dengan ajaran tersebut atau buku tersebut di mana-mana jua berada hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah S.W.T.
Di samping kesalahan yang berupa ajaran dan penyebaran akidah yang sesat, terdapat juga sesetengah penyebar ajaran salah ini menulis dakyah palsu yang dibawa oleh fahaman masing-masing atau mengembangkan ajaran salah tersebut melalui penulisan yang diterbitkan. Kajian antara tahun 1996 sehingga 2015, mendapati kira-kira sepuluh fatwa yang berkaitan penerbitan bahan yang menyeleweng daripada akidah Islam ini telah diputuskan mengikut tahun-tahun berikut (Sulong, 2016)iaitu:-

a)    Empat buku mengenai ajaran anti hadith iaitu Hadis Satu Penilaian Semula, Hadis Jawapan Kepada Pengkritik, Pendedahan Kebenaran Adalah dari Tuhanmu - Hadith di dalam al-Quran, Bacaan, The Computer Speaks – God's Message to the World (Feb 1996).
b)   Buku Tiang Agama terbitan Pusat Tarbiyyah (Jun 2000).
c)    Empat buku diharamkan iaitu Hakikat Sembahyang oleh Imam al-Soufi, Kumpulan Ilmu Ghaib oleh al-Aufaq (terjemahan Ustaz Masoap Suhaimi), Nur Muhammad oleh Abdul Ghani Asyukur (penterjemah) dan Ahlul Sunnah dan Syi’ah Sebenarnya Kristian oleh Abdullah Muhammad (Feb 2001).
d)   Buku Solat Ahlul Sunnah Yang Tidak Mengikut Al- Quran (Jawapan Kepada Geng Anti Ulama) Bercanggah ASWJ (Mei 2002).
e)    Tujuh buku tulisan Rasul Dahri diperakui sebagai haram iaitu Bahaya Taqlid Buta dan Ta'sub Mazhab; Imam Syafie Mengharamkan Kenduri Arwah Tahlilan, Yasinan dan Selamatan; Amalan-amalan Bid'ah pada Bulan Sya'ban; Hukum mengenai Rokok dan Mencukur Janggut; Bahaya Tariqat Sufi/Tasawuf Terhadap Masyarakat; Setiap Bid'ah Menyesatkan; Persoalan Bid'ah dan Percanggahannya (Ogos 2003, Jan 2004).
f)    Buku Dilema Umat Islam antara Hadis dan al- Quran tulisan Kassim Ahmad (Okt 2005).
g)   Buku Fahaman dan Amalan Ibrahim Babu a/l P.M. Kamal Bacha (Okt 2005).
h)   Buku/risalah/kertas kerja Ulul Albab karangan Ismail Kassim (Okt 2009, Dis 2010).
i)     Risalah Korban Agong (Jun 2010). 
j)     Buku Syi’ah, 14 Manusia Suci (Sep 2010).

ANALISIS KEPERLUAN TERHADAP PENGELUARAN LIMA FATWA TERSEBUT

Di Malaysia, fatwa yang diputuskan dapat dikategorikan dalam tiga bentuk, iaitu pertama, fatwa yang diwartakan; kedua, jawapan-jawapan fatwa yang diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa fatwa dan ketiga, fatwa yang dikeluarkan oleh mufti secara persendirian berbentuk lisan dan tulisan. Hanya fatwa kategori pertama sahaja yang mengikat, manakala kategori kedua dan ketiga tiada sebarang implikasi undang-undang (Rosele et al., 2013)

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik, di mana terdapat 14 jawatan mufti yang mewakili 14 buah negeri. Dalam proses istinbat hukum, para mufti dibantu oleh Jawatankuasa Fatwa yang mana nama bagi jawatankuasa ini berbeza bagi setiap negeri. Selain jawatankuasa fatwa peringkat negeri, terdapat jawatankuasa fatwa peringkat kebangsaan, iaitu Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI). Ia ditubuhkan pada awal tahun 1970. Penubuhannya bertindak sebagai sebuah institusi pengeluar fatwa peringkat kebangsaan di Malaysia dalam rangka menyelaras dan menyeragamkan keputusan fatwa di seluruh negara. Jawatankuasa ini juga dianggap sebagai badan yang paling berautoriti dalam mengeluarkan fatwa di Malaysia walaupun tidak mempunyai bidang penguatkuasaan. Realitinya, dalam fatwa masa kini, berlaku konflik sama ada yang diputuskan di peringkat negeri mahupun kebangsaan, yang mana ia disebabkan beberapa faktor tertentu dan memberi implikasi terhadap autoriti fatwa (Rosele et al., 2013).

Fatwa yang akan dianalisis secara kritis dalam tugasan ini ialah fatwa berkaitan ajaran dan fahaman salah Syi’ah. Syi’ah adalah satu aliran mazhab dalam pemikiran Islam yang membawa beberapa fahaman dikenalpasti bercanggah dengan akidah Islamiah. Aliran pemikiran ini turut berkembang di alam Melayu, khususnya di Malaysia sejak sekian lama. Ia dimarakkan lagi setelah berlakunya revolusi Islam di Iran di bawah pimpinan Ayatullah Khumaini pada tahun 1979 (Hamat, 2015).

Pengembangannya ke Malaysia, khususnya Syi’ah Ithna Asyariyyah turut disambut oleh segelintir umat Melayu beragama Islam dengan hujah yang pelbagai, antaranya ialah Syi’ah adalah mazhab pertama yang datang ke Tanah Melayu, manakala aliran al-Asha'irah adalah mazhab yang menyusul selepasnya. Pihak berkuasa agama di Malaysia telah mengambil pelbagai langkah bagi membendung penyebaran fahaman ini di Malaysia menerusi pelbagai kaedah, antaranya menerusi langkah pencegahan menerusi pengeluaran fatwa-fatwa berkaitan Syi’ah di peringkat kebangsaan dan di negeri-negeri di Malaysia serta pewartaannya (Hamat, 2015).

Pengeluaran fatwa terhadap ajaran dan fahaman salah Syi’ah ini bukan hanya difatwakan di negeri Selangor malah turut difatwakan sesat di peringkat kebangsaan dan di beberapa negeri lain di Malaysia antaranya ialah Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka membuat keputusan yang sama dengan di atas lebih awal iaitu pada 16hb Julai 1997 dan telah diwartakan pada 24hb Julai 1997. Fatwa ini turut menerangkan hujah-hujah yang terfokus kepada isu-isu akidah, sebagaimana yang dinyatakan dalam sighah fatwa di negeri tersebut yang menjelaskan bahawa fahaman Syi’ah adalah satu fahaman yang mempunyai pebezaan-perbezaan pokok dengan mazhab Sunni (ASWJ) yang diikuti oleh umat Islam di negara ini. 

Fatwa ini yang hampir sama juga dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman pada 17hb. Januari 1998 yang diwartakan pada 18hb Februari, 1999 tanpa menjelaskan sebab-sebab pengharaman Syi’ah dari aspek akidah secara jelas, sebagaimana di atas. Manakala Negeri Sembilan pula mewartakan fatwa Syi’ah pada 27hb Februari, 1998 dengan penegasan bahawa umat Islam di Negeri Sembilan hendaklah mengikut undang-undang Islam dan ajaran Islam yang berasaskan pegangan ASWJ dari segi aqidah, syariah dan akhlak, juga diperakukan bahawa ajaran Islam selain pegangan ASWJ adalah bercanggah dengan Hukum Syarak dan dengan yang demikian penyebaran apa-apa ajaran lain selain pegangan ASWJ adalah dilarang. Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang juga mengeluarkan fatwa yang diwartakan pada 16hb Januari, 1997 bahawa ajaran fahaman Syi’ah adalah bercanggah dan menyeleweng daripada pegangan ASWJ dan menjadi ancaman kepada perpaduan ummah, keutuhan agama, perpaduan bangsa dan keamanan negara. 

Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sarawak juga telah memutuskan secara sebulat suara pada 23hb. November 1996 bahawa semua mazhab Syi’ah dari golongan apapun tidak boleh diterima untuk diamalkan oleh orang Islam di Sarawak. Umat Islam di Sarawak hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak. Walau bagaimanapun keputusan ini tidak diwartakan. 

Dalam Portal Rasmi Fatwa Malaysia, dinyatakan bahawa Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan ASWJ dari segi aqidah, syariah dan akhlak. Muzakarah juga bersetuju agar ajaran Islam yang lain daripada pegangan AWSJ adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam dan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan ASWJ adalah dilarang. Selain itu, muzakarah juga bersetuju supaya keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang telah diadakan pada 24 dan 25 September 1984 [Kertas Bil. 2/8/84, Perkara 4.2. (2)] mengenai aliran Syi’ah yang menetapkan seperti berikut, “setelah berbincang dan menimbang kertas kerja ini Jawatankuasa telah mengambil keputusan bahawa hanya mazhab Syi’ah dari golongan al- Zaidiyah dan Jaafariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia” dimansuhkan. Berdasarkan kenyataan ini, semua mazhab Syi’ah tidak diterima sebagai pegangan yang tidak bercanggah dengan mazhab ASWJ (Hamat, 2015).

Demikian adalah merupakan beberapa fatwa tentang Syi’ah yang dibuat oleh pihak Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan diikuti oleh Jawatankuasa fatwa Negeri-Negeri di Malaysia. Sebahagiannya menjelaskan faktor-faktor penyelewengan dari aspek akidah berdasarkan beberapa aspek yang sama dan ada yang berbeza. Persamaan nampaknya masih lagi dalam isu al-imamah yang menjadi asas kemunculan aliran mazhab Syi’ah itu sendiri. Menurut Abu Zuhrah, dasar pemikiran golongan Syi’ah adalah konsep al-imamah. Menurut Syi’ah, al-imamah itu bukan suatu perkara yang menjadi maslahah ummah yang diserahkan pemilihannya kepada ummah, bahkan ia merupakan rukun agama dan pasak kepada Islam. Ia tidak harus dilalaikan oleh Rasulullah dan tidak harus ditinggalkan penentuannya kepada pemilihan yang dilakukan oleh ummah sendiri. 
Bahkan Rasulullah wajib menentukan imam-imam pengganti kepada umat Islam dan imam-imam tersebut adalah maksum daripada dosa kecil dan besar. Selain itu, muncul daripada itu juga fahaman yang menjadi dasar pemikiran mereka iaitu konsep al-wasiyyah di mana berdasarkan konsep ini, mereka mendakwa Sayyidina 'Ali adalah khalifah yang sebenar disebabkan beliau telah diwasiatkan oleh Rasulullah S.A.W untuk menjadi khalifah. Ibn Khaldun juga telah merumuskan beberapa dasar pemikiran Syi’ah, antara lain adalah al- imamah di mana ia merupakan suatu kewajipan yang perlu ditentukan oleh Rasulullah ke atas umat Islam. Ia merupakan rukun agama dan bukan berkait dengan maslahah ummah yang boleh ditentukan sendiri oleh ummah. Imam ini menurutnya juga mestilah maksum daripada melakukan dosa kecil dan besar. Mereka juga percaya bahawa Sayyidina 'Ali merupakan imam yang telah dinaskan oleh Rasulullah, yang akan memimpin ummah selepas kewafatan baginda dan beliau merupakan sahabat yang paling afdal.

Meneliti fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh kebanyakan pihak berkuasa agama negeri-negeri di Malaysia mendapati bahawa rujukan memang dibuat terhadap mazhab al-Asha'irah dalam pengeluaran fatwa tersebut. Dalam isu al-imamah yang menjadi asas penolakan terhadap fahaman Syi’ah, didapati al-Imarn Abu Hasan al-Ashari menolak pandangan yang menyokong keimaman Ali (imamah 'Ali) selepas Rasulullah S.A.W. Dalilnya mudah, iaitu terdapat tiga golongan manusia yang muncul selepas kewafatan Rasulullah S.A.W; pertama, golongan yang menyokong imamah 'Ali, kedua, golongan yang meyokong imamah al-'Abbas dan ketiga, golongan yang menyokong imamah Abu Bakar al-Siddiq. Apabila Ali dan al-'Abbas sendiri meyokong imamah Abu Bakar al-Siddiq dan patuh kepada arahannya, maka sahlah imamah Abu Bakar al-Siddiq. 

Walaupun terdapat golongan yang bertawaqquh seketika pada peringkat awalnya untuk membaiah Abu Bakar al- Siddiq, namun akhirnya mereka turut akur membaiah Abu Bakar kemudiannya dan sanggup menuruti arahannya serta menyebutnya dengan panggilan “Wahai Khalifah Rasulullah S.A.W “. Apabila semua orang membaiah dan patuh kepadanya, maka ia sudah menjadi ijmak ummah dan tidak mungkin ummah berijmak atas perkara yang salah 17. Tidak harus ada yang mendakwa dari aspek batinnya atau yang tersembunyi dalam hati sanubari Ali dan al-'Abbas adalah lain daripada apa yang dizahirkannya. Ini kerana kalau harus hal seperti itu diambilkira, maka kita tidak harus memutuskan kesahihan sesuatu ijmak daripada ummah atas sesuatu perkara apapun kerana kita tidak dapat pastikan batin atau apa yang tersembunyi dalam benak hati sesetengah ummah yang berbeza dengan apa yang dizahirkannya. Apabila zahir ummah bersepakat atas perkara ini, dapat diketahui bahawa ijmak telah terjadi. Lantaran itu, kita tidak boleh mengambil kira dakwaan mereka yang mendakwa sebagaimana dakwaan sesetengah orang Khawarij bahawa apa yang tersembunyi dalam hati sanubari Ali berbeza dengan apa yang dizahirkannya.

Oleh itu, semua ini membatalkan ijmak (sedangkan ijmak telah berlaku), maka wajib diputuskan bahawa imamah Abu Bakar adalah berdasarkan akad baiah terhadapnya daripada orang-orang Islam dan baiah Kaum Muhajirin, Kaum Ansar serta berdasarkan ijmak Kaum Muslimin pada zamannya terutama oleh Ali dan al-‘Abbas sendiri yang turut berbai’ah dan mengakui keimamannya dan kedudukannya sebagai khalifah Rasulullah S.A.W. Apabila keimaman adalah terhenti kepada tiga individu sahabat ini sahaja menurut ijmak dan seluruh Kaum Muslimin telah berbaiah kepadanya, termasuk Ali dan al-‘Abbas, maka wajib Abu Bakar disabitkan sebagai imam yang ditaati.

Isu penyelewengan akidah yang turut disentuh ialah kedudukan imam-imam Syi’ah yang bersifat maksum, sebagaimana yang diputuskan dalam fatwa Melaka, Selangor dan Pulau Pinang. Pandangan ini jelas merujuk kepada mazhab al-Ashairah yang hanya mengiktiraf Rasulullah S.A.W sahaja imam yang maksum. 

Imam al-Ghazali menulis karya khas bertajuk al-Qistas al-Mustaqimbagi menolak fikrah imam maksum yang dibawa oleh Syi’ah aliran Isma’iliah Ta’limiyah yang bergantung kepada imam maksum sebagai sumber makrifah. Menurut beliau, sesuatu fikrah perlu dinilai berdasarkan neraca ukuran yang lurus (al-qistas al-mustaqim) sesuai dengan saranan al-Quran, di mana al-qistas al-mustaqimini dihuraikan oleh al-Ghazali berdasarkan lima neraca ukuran berfikir yang memanfaatkan penggunaan qias-qias mantik. 

Sesiapa yang menggunakan neraca ukuran berfikir tersebut, ia akan mendapat hidayah, manakala sesiapa yang berpaling daripadanya dia akan tersesat. Bagi beliau, guru pertama ialah Allah S.W.T, kemudian Jibril a.s. serta disusuli oleh guru yang ketiga iaitu Rasulullah S.A.W Semua makhluk mempelajari ilmu daripada para Rasul, di mana tiada jalan lain untuk mencapai makrifah melainkan menerusi mereka. Al-Quran adalah rujukan yang memadai berbanding dengan imam maksum.

Terdapat juga fahaman-fahaman Syi’ah yang muncul kemudian seperti pengagungan secara berlebihan kepada Ali dan ahl al-baytdengan mengenepikan kelebihan sahabat yang lain sehingga munculnya penolakan terhadap hadis-hadis riwayat sahabat yang bukan daripada kalangan ahl al-baytsebagaimana yang dinyatakan dalam fatwa Melaka dan Perak, penyamatarafan Ali dengan Allah S.A.W sebagaimana yang dinyatakan dalam fatwa Pulau Pinang dan Selangor, penambahan lafaz syahadah sebagaimana yang dinyatakan dalam fatwa Perak, penghinaan terhadap sahabat dan pengkafiran mereka termasuk Aisyah R.A sebagaimana yang dinyatakan dalam fatwa Perak dan Pulau Pinang dan apa-apa fahaman yang muncul berkait dengan hal ini adalah jelas merujuk kepada mazhab al-Ashairah (Hamat, 2015)

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa fatwa-fatwa tentang Syi’ah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama di Malaysia adalah berdasarkan rujukan dan panduan mazhab al-Asha'irah, sebagaimana yang dapat dikesan dalam karya tokoh-tokoh besar al-Asha'irah, khususnya al-Ashari dan al-Ghazali. Kehidupan beragama di Malaysia sejak sekian lama berdasarkan ikutan umat Islam terhadap mazhab al-Ashairah temyata berjaya mewujudkan keadaan aman damai dan perpaduan di kalangan umat Islam kerana pendekatan wasatiyyah yang terkandung dalam aliran mazhab arus perdana tersebut. Lantaran itu, wajar sekali rujukan dibuat terhadap mazhab ini bagi mengekang kemasukan pengaruh aliran mazhab yang bertentangan dengan mazhab ASWJ di Malaysia menerusi pewartaan fatwa-fatwa mengenai Syi’ah.

PERANAN FATWA BERKAITAN AKIDAH DALAM MEMBERI KESEDARAN KEPADA MASYARAKAT

Mazhab yang dianuti oleh umat Islam di Malaysia umumnya ialah mazhab Asya’irah yang dinisbahkan kepada Imam Abu Hasan al-Asy’ari (324 H). Peruntukan Islam sebagai agama persekutuan dalam perlembagaan membawa maksud Islam sebagai agama yang dianuti dan diamalkan oleh majoriti rakyat dan juga pemerintah. Walaubagaimanapun tidak dinyatakan secara khusus aliran yang mana dimaksudkan. Adakah ianya mengkhususkan kepada satu aliran sahaja sekaligus menolak aliran yang selain daripadanya? Atau adakah ianya menerima kepelbagaian mazhab dalam sebuah negara? Berbeza dengan negara Iran yang secara terang-terangan menyebutkan aliran Syi’ah Ithna ‘Asyarah-Ja’afariah sebagai mazhab rasmi republik tersebut (Badhrulhisham, 2016).

Dalam konteks ini permasalahan mula timbul kerana tidak ada fatwa atau enakmen yang secara jelas menyatakan pegangan rasmi negara dalam akidah. Lebih-lebih lagi sistem autoriti agama Islam di Malaysia bukannya di bawah autonomi persekutuan sebaliknya diletakkan di bawah bidang kuasa pentadbiran negeri. Oleh itu tiada peruntukan khusus untuk menetapkan aliran yang diguna pakai secara rasmi dalam konteks kebangsaan. Namun begitu akidah ASWJ dianggap sebagai akidah yang diterima umum dan dianuti oleh masyarakat di Malaysia secara tradisi. Badan Badan autoriti agama Islam di Malaysia iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah pun mengiktiraf pegangan ASWJ dan memutuskan definisinya seperti berikut (Badhrulhisham, 2016)

“Golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Nabi S.A.W menerusi para sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in yang setia bersama mereka dalam prinsip- prinsip akidah, syariah dan akhlak”.

Di Malaysia, mana-mana pegangan akidah yang tidak selari dengan akidah ASWJ adalah bertentangan dengan Islam dan tidak boleh diamalkan malah akan turut difatwakan sesat. Institusi agama amat berperanan dalam membasmi ajaran sesat. Di Malaysia, seluruh negeri mempunyai Jabatan Agama Negeri. Bahkan institusi agama negeri tersebut dinaungi oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan. Kedudukan dan keistimewaan ini seharusnya dimanfaatkan agar ajaran-ajaran sesat yang menjadikan Malaysia sebagai lokasi penyebaran dan perkembangannya dibanteras sehingga ke akar umbinya (Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), 2015).

Sebuah ungkapan yang dinisbahkan kepada Sayidina Umar RA menyatakan dengan maksud:

 “Manusia adalah berdasarkan pada agama (gaya atau cara hidup) pemimpinnya.”

Sesungguhnya kerajaan berperanan untuk membentukrakyatnya melalui undang-undang, peraturan atau ketetapan tertentu. Lazimnya, rakyat akan mengikut segala ketetapan pemimpin atau negaranya. Sekiranya negara tersebut merupakan negara ASWJ, maka majoriti rakyatnya adalah dalam kalangan ASWJ. Sekiranya negara tersebut merupakan negara Syiah, maka majoriti rakyatnya adalah dalam kalangan penganut Syiah. Sekiranya sebuah negara ASWJ pengamalan fiqhnya berdasarkan mazhab tertentu sama ada Maliki, Hanafi, Syafie dan Hanbali, maka majoriti rakyatnya akan mengikuti pengamalan mazhab- mazhab tersebut. Inilah kepentingan pegangan rasmi bagi sesebuah kerajaan kerana pegangan hidup rakyat secara umumnya adalah berdasarkan pada agama, gaya atau cara hidup pemimpin atau negaranya.

Realitinya, inilah yang telah berlaku atau dilaksanakan oleh setiap kerajaan demi memelihara keamanan, keharmonian dan kesejahteraan sesebuah negara. Penetapan pegangan dan pengamalan rasmi agama adalah penting bagi sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, kerajaan melalui Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Mufti dan Jabatan Agama setiap negeri berperanan menjaga kesucian pengamalan agama Islam dengan penetapan bahawa akidah rasmi negara ini adalah berdasarkan akidah ASWJ; ikutan fatwa atau mazhab Imam Abu Al-Hassan Al-Ash’ari, fiqhnya berdasarkan fatwa atau mazhab Imam Muhammad Bin Idris Al-Syafi’i dan tasawufnya berdasarkan fatwa atau ikutan Imam Junaid Al-Baghdadi dan Iman Abu Hamid Al- Ghazali (Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), 2015).

Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa berkaitan akidah adalah merupakan perkara penting dalam memberi pemahaman kepada masyarakat. Kekeliruan dalam penggunaan perkataan dan struktur ayat dalam fatwa akan memberikan kesan buruk sama ada terhadap individu atau masyarakat. Misalnya, baru-baru ini kita mendapat berita yang menyatakan Mahkamah Tinggi Sivil telah memutuskan bahawa semakan kehakiman yang dibuat oleh pengikut ajaran Ahmadiyyah berkenaan dengan bidangkuasa Jabatan Agama Islam Selangor dalam mengambil tindakan terhadap mereka adalah diluar bidangkuasa jabatan tersebut. Hal ini terjadi kerana terdapat perkataan di dalam fatwa ajaran Ahmadiyyah yang menyatakan bahawa mana-mana orang yang mengikuti ajaran Ahmadiyyah adalah seorang kafir dan bukan lagi merupakan orang Islam. Kesan daripada perkataan ‘seorang kafir dan bukan Islam’ telah diterjemahkan oleh undang-undang dengan maksud bahawa memandangkan fatwa telah menyatakan bahawa pengikut yang mengikuti ajaran Ahmadiyyah bukan lagi beragama Islam, maka Mahkamah Syariah atau agensi Islam tidak lagi berbidangkuasa untuk mengenekan apa-apa tindakan undang-undang Syariah terhadap mereka. 

Jika kita amati dengan teliti, penyalahgunaan perkataan di dalam sesuatu fatwa telah memberikan kesan yang buruk kepada undang-undang. Walaupun Majlis Fatwa itu telah bertegas di dalam pengeluaran fatwanya bagi menghalang masyarakat mempercayai ajaran salah fahaman tersebut, namun, masyarakat tetap mempercayai ajaran tersebut malah lebih memilukan, telah menjadi satu keputusan kehakiman di atas penyalahgunaan perkataan dan laras bahasa di dalam fatwa tersebut. Majlis Fatwa seharusnya lebih berhati-hati dan bersifat teliti dalam mengeluarkan sesuatu fatwa berkaitan akidah atau apa-apa fatwa yang akan memberikan kesan perundangan pada masa akan datang. Ini adalah bagi menjaga kemaslahatan agama Islam itu sendiri. 

 KESIMPULAN

Akidah ASWJ adalah pegangan rasmi institusi dan masyarakat Islam di negara ini yang perlu dipegang dan dipertahankan. Ajaran, fahaman, pegangan atau ideologi yang bercanggah dan menyeleweng daripada ASWJ sebagaimana yang difatwakan oleh Majlis Agama atau Pejabat Mufti negeri-negeri seluruh Malaysia perlu dijauhkan. Segala ajaran dan fahaman baharu yang mengelirukan perlulah dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan, Pejabat Mufti Negeri dan alim ulama bertauliah serta institusi- institusi Islam lain yang bertanggungjawab.

Fatwa merupakan mekanisme penting dan paling sesuai dalam membendung ajaran sesat dan fahaman salah di Malaysia kerana proses pengeluaran fatwa dapat dikeluarkan tanpa melibatkan proses perundangan yang panjang dan fleksibel dari sudut penguatkuasaan larangan ajaran berkenaan. Namun begitu, aspek penguatkuasaan dan pendakwaan terhadap mereka yang melanggar fatwa berkenaan adalah merupakan satu cabaran besar kerana kesukaran untuk membuktikan kes-kes tersebut di mahkamah. Selain itu, penggunaan perkataan dalam pengeluaran fatwa perlu lebih berhati-hati bagi memastikan sesuatu fatwa yang dikeluarkan akan memberikan kesan yang positif dan holistik dari sudut perlaksaan fatwa tersebut.


BIBLIOGRAFI

Al-Quran al-Karim

Ahmad, S., Rudshi, M., & Abdul Fatah, R. A. (n.d.). USAHA MEMARTABATKAN AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH SEBAGAI PEMANGKIN KELANGSUNGAN MASYARAKAT ISLAM MADANI DI MALAYSIA.

Badhrulhisham, A. (2016). AHLI SUNNAH WAL JAMAAH DAN PEMAKAIANNYA DI MALAYSIA : ISU DAN CABARAN. Jurnal ’Ulwan1, 128–149.

El-Muhammady, D. M. ’Uthaman. (2011). Ahli Sunnah Wal Jamaah Penyerapan Unsur-Unsur Akidah yang Mengelirukan Dalam Masyarakat Islam Di Malaysia(Cetakan Pe). Johor Bahru: Sekreteriat Menangani Isu-isu Akidah dan Syariah Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Hamat, M. F. (2015). ASHA’IRAH SEBAGAI RUJUKAN DALAM FATWA SYIAH DI MALAYSIA. In SEMINAR SERANTAU SUMBANGAN ULAMA’ ASHA’IRAH DAN MATURIDIYYAH DALAM PEMANTAPAN AKIDAH ISLAMIAH. Brunei Darussalam: Pusat Penyelidikan Dan Penerbitan Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). (2015). AJARAN SESAT MERUNGKAI KEKUSUTAN & KECELARUAN. (Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Ed.) (Cetakan Pe). Shah Alam: Perpustakaan Negara Malaysia.

Rosele, M. I., Hj. Abdullah, L., Hj. Ismail, P., & Ramli, M. A. (2013). KONFLIK FATWA DI MALAYSIA: SATU KAJIAN AWAL. Jurnal Fiqh10, 31–56.

Sulong, J. (2016). PEMELIHARAAN AKIDAH ISLAM : ANALISIS DARIPADA SUDUT PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG DAN FATWA DI PULAU PINANG. Jurnal Afkar18, 1–34.

                                                                                                          

No comments:

Post a Comment