Monday, October 15, 2018

HADANAH DAN TUNTUTAN TUNGGAKAN NAFKAH ANAK

Related image




Daripada ibnu Umar Ra, daripada Nabi Muhammad SAW baginda bersabda:   
"Ketahuilah bahawa setiap kamu pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap kepimpinanmu dan orang yang kamu pimpin. Seorang ketua adalah pemimpin ke atas manusia dan dia bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pemimpin terhadap ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang perempuan adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah pemimpin ke atas harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Ketahuilah bahawa setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap kepimpinanmu dan orang yang kamu pimpin."  
(riwayat Muttafaqun 'Alaih)


Image result for hadanah


Apabila satu pasangan suami isteri itu bercerai, ianya akan merubah struktur sesuatu keluarga itu dan akan memberikan kesan yang jelas terhadap institusi keluarga tersebut khususnya anak-anak mereka. 

Dalam banyak situasi, anak itu akan menjadi mangsa kepada perceraian yang berlaku antara ibu dan bapanya. Tanpa menyedari tentang tanggungjawab dan peranan sebenarnya yang perlu dimainkan oleh ibubapa ini terhadap anak setelah berlakunya perceraian, seringkali si ibu atau si bapa mengambil pendekatan yang salah dalam mendidik dan menjaga anak malang itu.  Kadangkala anak itu dijadikan umpama piala yang menjadi rebutan kedua belah pihak.  Dan ada kalanya anak ini dijadikan objek untuk menyakiti dan menyeksa bekas pasangan.  Tidak kurang juga anak yang dihasut untuk membenci ibunya oleh bapanya ataupun sebaliknya.   

Apabila berlakunya perceraian, maka akan timbul beberapa isu melibatkan anak-anak pasangan tersebut.  

Isu yang pertama adalah berkaitan dengan hak penjagaan ataupun hadanah.

Peruntukkan undang-undang berkaitan hak penjagaan kanak-kanak setelah berlakunya perceraian telah dijelaskan di dalam Bahagian VII Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang 2005 dari Seksyen 82 sehingga Seksyen 88.

Seksyen 82 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang 2005 menjelaskan bahawa: 

(1)      Tertakluk kepada seksyen 83, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

(2)   Jika Mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan di bawah Hukum Syarak dari mempunyai hak terhadap hadhanah atau penjagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk kepada subseksyen (3), hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu—

          (a)  nenek sebelah ibu hingga ke atas;

          (b)  bapa;

          (c)  nenek sebelah bapa hingga ke atas;

          (d)  kakak atau adik perempuan seibu sebapa;

          (e)  kakak atau adik perempuan seibu;

          (f)  kakak atau adik perempuan sebapa;

          (g)  anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu 
              sebapa;

          (h)  anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu;

          (i)  anak perempuan dari kakak atau adik perempuan 
              sebapa;

          (j)  emak saudara sebelah ibu;

          (k) emak saudara sebelah bapa;

          (l)  waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai 
              ‘asabah atau residuari:

Dengan syarat penjagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.

(3)      Tiada seseorang lelaki berhak terhadap penjagaan seseorang kanak-kanak perempuan melainkan lelaki itu adalah seorang muhrim, iaitu, dia mempunyai pertalian dengan kanak-kanak perempuan itu dalam mana dia dilarang berkahwin dengannya. 

(4)      Tertakluk kepada seksyen 83 dan 85, jika ada beberapa orang dari keturunan atau peringkat yang sama, kesemuanya sama berkelayakan dan bersetuju menjaga kanak-kanak itu, penjagaan hendaklah diamanahkan kepada orang yang mempunyai sifat-sifat paling mulia yang menunjukkan perasaan paling kasih sayang kepada kanak-kanak itu, dan jika kesemuanya sama mempunyai sifat-sifat kemuliaan, maka yang tertua antara mereka adalah berhak mendapat keutamaan.

Menurut peruntukkan di atas, bapa hanya akan mendapat hak jagaan sekiranya 
nenek sebelah ibu tidak menuntut hadanah anak tersebut. 

Dan si nenek pula perlu membuat permohonan bagi mendapatkan hak penjagaan anak tersebut atau menjadi pihak kedua selepas ibu sebagai penjaga alternatif bagi membolehkan beliau dilantik sebagai hadinah. 

Di dalam Seksyen 85, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang 2005 ada dinyatakan bahawa:  

(1)         Hak hadinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan.

(2)           Setelah tamatnya hak hadinah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

Melihat kepada peruntukkan di bawah Subseksyen (2) itu,  hak bapa untuk mendapatkan hadanah anaknya hanya berlaku setelah tamatnya tempoh hadanah si ibu, tetapi sebelum anak itu mencapai umur mumayyiz. 

Tiada di dalam mana-mana peruntukkan samaada di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, ataupun Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah mahupun Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah yang memberikan tafsiran tentang maksud 'mumayyiz'.  Fuqaha menjelaskan bahawa umur mumayyiz adalah sekitar usia tujuh tahun apabila beliau mempunyai kecerdikan untuk menilai baik buruk sesuatu perkara.

Maka bagaimana hadanah anak tersebut boleh turun kepada bapanya setelah tamat tempoh hadanah sedangkan pada ketika tamatnya itu anak tersebut telah boleh membuat pilihan untuk tinggal samaada bersama ibunya ataupun bapanya. 

Bagi menjawab persoalan ini, maka Seksyen 85 itu perlu dibaca dengan peruntukkan di bawah Seksyen 84, Enakmen yang sama.   Di dalam Seksyen 84, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang 2005 ada dijelaskan bahawa:

Hak seseorang perempuan terhadap hadhanah adalah hilang—

(a)    jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;

(b)      jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;

(c)      jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;

(d)     jika perempuan itu murtad;

(e)     jika perempuan itu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

Tapi bagaimanakah kiranya perkara yang dinyatakan di dalam Seksyen 84 itu tidak berlaku. Maka jawabnya bapa tersebut tidak akan mendapat hak hadinah terhadap anak tersebut melainkan anak itu memilih untuk tinggal bersamanya setelah mencapai usia mumayyiz. 

Sekiranya undang-undang berhasrat untuk memberikan si bapa peluang untuk mendapatkan hadanah anak tersebut setelah mencapai usia mumayyiz tanpa mengambil perkiraan peruntukkan di bawah Seksyen 84, maka peruntukkan di bawah Seksyen 85 itu mungkin perlu dipinda bagi memasukkan klausa bahawa hak untuk membuat pilihan itu dilanjutkan sehingga anak itu mencapai umur baligh ataupun berusia lima belas tahun.   

Ianya sesuai dengan kaedah pendidikan Islam mengikut sunnah iaitu pada usia anak itu berumur 7-14 tahun maka mereka perlu ditanamkan dengan DISIPLIN dengan diajar dan disuruh untuk mengerjakan solat. Bahkan ketika umurnya sudah sepuluh tahun, seorang ayah bisa memukul anaknya jika enggan mengerjakan solat.

Tanggungjawab ini tidak bisa dijalankan oleh seorang ibu, apatah lagi oleh seorang ibu tunggal.  Kerana itulah sekiranya pada umur tersebut anak itu diletakkan di bawah penjagaan dan kawalan bapanya, maka moga-moga si bapa dapat memimpin anak itu menjadi seorang yang berdisiplin dan mematuhi kehendak agamanya. 

Namunpun begitu, hadanah yang diberikan kepada bapa samaada melalui peruntukkan yang sedia ada ataupun dengan wujudnya pindaan tersebut, tidak akan memberikan kesan sekiranya si bapa tidak dapat menjalankan tanggungjawanya itu.   Apatah lagi, sekiranya si bapa terus meletakkan tanggungjawab untuk mendidik dan membesarkan anak itu kepada orang tuanya. 

Isu yang kedua pula adalah berkaitan nafkah anak.  Peruntukkan undang-undang berkaitan nafkah kanak-kanak telah dijelaskan di dalam Bahagian VI Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang 2005 dari Seksyen 73 sehingga Seksyen 81.

Di dalam Seksyen 73, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang 2005 ada dinyatakan bahawa:

(1) Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.  

Selanjutnya Seksyen 74 Enakmen yang sama menegaskan:

(1)      Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seorang lelaki    membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya— 

(a)  jika dia telah enggan atau cuai mengadakan  peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;

(b)  jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan  anaknya itu adalah dalam jagaan isterinya;
         
(c)  dalam masa menanti keputusan sesuatu prosiding hal-ehwal suami isteri;
          
(d)  apabila membuat atau selepas daripada membuat suatu  perintah meletakkan anak itu dalam jagaan seseorang lain; atau
      
 (e)  apabila memberi kebenaran kepada lelaki itu untuk  berpoligami di bawah seksyen 23.

Dan mengikut Seksyen 71 Enakmen yang sama:

(1) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa terdapat alasan-alasan untuk membayar nafkah, Mahkamah boleh membuat suatu perintah terhadap suami bagi membayar nafkah sementara yang akan berkuat kuasa dengan serta merta dan terus berkuat kuasa sehingga perintah Mahkamah dibuat atas permohonan untuk nafkah.

Ketiga-tiga peruntukkan tersebut jelas menunjukkan bahawa si bapa bertanggungjawab untuk membayar nafkah anaknya samaada anak tersebut tinggal bersamanya ataupun sebaliknya.  Dan Mahkamah boleh mengeluarkan perintah pembayaran nafkah anak tersebut sekiranya si bapa gagal menjalankan tanggungjawabnya itu. 

Walaupun terdapat peruntukkan berkaitan nafkah tertunggak di bawah Seksyen 78, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang, 2005, namun ianya hanya menjelaskan bahawa Mahkamah boleh mengeluarkan Perintah Nafkah Sementara. Sekiranya si bapa gagal mematuhi Perintah tersebut maka akan terjadinya tunggakan nafkah. 

Namun begitu terdapat permasalahan apabila si ibu tidak menuntut nafkah anak  sehinggalah selepas beberapa tahun.  Tanpa wujudnya Perintah Sementara bererti tidak akan ada tunggakan nafkah anak tersebut walaupun pada hakikatnya si bapa mungkin tidak pernah membayar nafkah anaknya sejak dari anak itu lahir sehinggalah anak itu berusia belasan tahun.

Mungkin pindaan perlu dibuat terhadap Seksyen 78 tersebut bagi memasukkan hak si ibu untuk menuntut tunggakan nafkah anak dari mula si bapa gagal menjalankan tanggungjawabnya itu tanpa perlu wujudnya  Perintah Sementara terlebih dahulu.  Ini kerana, mengikut Islam tanggungjawab si bapa untuk menafkahi anaknya wujud sejak anak tersebut lahir lagi dan bukannya setelah adanya Perintah Mahkamah untuk beliau berbuat demikian. 

             Namun si ibu perlu mengemukakan bukti atau memberikan keterangan berkaitan jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan sepanjang tempoh membesarkan anak tersebut. Dan Mahkamah seharusnya mengambil perkiraan bahawa jumlah perbelanjaan itu akan berubah setiap kali anak tersebut meningkat dewasa.   Walaupun mungkin bukti kukuh dari segi resit pembelian setiap barangan keperluan anak tersebut tidak dapat dikemukakan secara sepenuhnya, namun Mahkamah perlu mengiktiraf tentang perbelanjaan yang perlu dikeluarkan untuk keperluan daruriyyah, hajiyyah dan tahsiniyyah anak itu. 

Peruntukkan yang jelas perlu dimasukkan ke dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam bagi menjamin hak seorang kanak-kanak itu terbela dan si bapa tidak melepaskan tanggungjawabnya begitu sahaja apabila berlakunya perceraian. 

No comments:

Post a Comment