Tuesday, August 6, 2019

TSUNAMI RUMAH TANGGA – GANGGUAN PIHAK KETIGA



Image result for bismillahirrahmanirrahim



Setiap pasangan yang berkahwin mendambakan rumahtangga yang aman, damai, bahagia dan kekal sehingga ke akhir hayat.  Dan sememangnya kita semua faham bahawa maksud aman, damai dan bahagia itu bukanlah hidup tanpa persengketaan dan perbalahan.  Kerana, perselisihan dan perkelahian itu adalah asam garam alam rumahtangga. Ianya menjadikan rumahtangga itu penuh warna dan ada rasa. Ibarat kata Tan Sri P. Ramlee “Sedangkan bibir lagi tergigit, inikan pula suami isteri”. 

Namun cabaran yang ingin dibincangkan kali ini bukanlah    calang-calang dugaannya.  Mungkin ianya boleh digambarkan sebagai Tsunami rumahtangga.  Gelora yang dibawa boleh meranapkan rumahtangga yang dibina sehingga tiada sisa bahagia yang ditinggalkan.  

Bayangkan sekiranya pasangan hidup anda tiba-tiba berubah hati, terpikat dengan ketampanan dan keanggunan pihak ketiga.  Tentunya emosi dan suasana rumahtangga anda akan berubah rupa.   Tiada lagi gelak ketawa, gurau mesra, belaian manja, bisikan rindu.  Pasangan anda bukan lagi tempat mengadu, penyelamat diwaktu kusut dan susah, pahlawan diwaktu ketakutan, pembakar semangat diwaktu kejatuhan.  Yang ada hanya manusia kaku yang tiada emosi, sekatil tapi tidak sejiwa, wujud pada zahir tapi hati dan perasaannya hilang entah kemana.  Bagaimana waktu itu ?????

Apakah perasaan anda bila mengetahui rupanya tempat anda telah diganti.  Ada pihak ketiga yang menjadi teman hidup yang membahagiakannya.  Apabila semuanya bukan lagi igauan, rahsia akhirnya menjadi nyata, sedangkan anda masih sayangkannya,  masih percaya bahawa kerukunan yang bergolak itu masih boleh didamaikan,  kebahagian masih boleh diwujudkan, tetapi… ancaman pihak ketiga itu perlu dihapuskan.  Maka, apa yang harus anda lakukan?????.  

Sebagai seorang yang waras, tentunya akan terlintas difikiran untuk membuat aduan di Pejabat Agama tentang gangguan pihak ketiga itu.   Pada waktu itu anda mengharapkan pembelaan diatas penderitaan yang dialami akibat daripada perbuatan pihak ketiga tersebut.   Mengharapkan pihak Pejabat Agama boleh menangkap si pengganggu itu dan mendakwanya di Mahkamah supaya dia mendapat penghukuman yang setimpal dengan perbuatan jahat yang telah dilakukan.   Dan lebih dari segalanya, anda mengharapkan dengan tindakan itu, pasangan anda akan kembali semula kepangkuan anda, bertaubat, taat dan mesra kembali sebagaimana sebelumnya. Akhirnya...., bahagia selepas derita… .

TAPI, betulkah begitu ceritanya, atau mungkin anda masih lagi bermimpi di siang hari.

Untuk itu, mari kita susuri dan mengkaji peruntukkan undang-undang syariah sedia ada untuk mengetahui sejauh mana keberangkalian harapan anda itu boleh menjadi kenyataan.

Pada asasnya aduan berkenaan masalah rumahtangga yang sedang dialami perlu dibuat terlebih dahulu di Pejabat Agama.  Di dalam laporan itu perlu dinyatakan bahawa berlakunya pergaduhan dalam rumahtangga setelah anda mendapati atau mengetahui bahawa pasangan anda ada menjalani hubungan kasih dengan pihak ketiga bernama ….. . Oleh yang demikian, anda berharap siasatan boleh dibuat oleh Pejabat Agama terhadap gangguan pihak ketiga tersebut dan mengambil tindakan undang-undang terhadap salahlaku pihak ketiga itu.

Pegawai Penyiasat Pejabat Agama kemudiannya akan membuat temubual untuk mengambil keterangan anda dan menilai segala bukti yang dikemukakan.  Kemudian mereka akan memanggil semua saksi-saksi anda sebelum memanggil pasangan anda dan pihak ketiga tersebut untuk memberikan keterangan mereka.

Selesai siasatan, satu laporan akan dikeluarkan untuk diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan seterusnya.  Di sini, pihak pendakwa akan menilai samaada kesalahan yang telah dilakukan dan bukti-bukti yang dikemukakan menepati kehendak undang-undang mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah sebelum memutuskan samaada dakwaan jenayah syariah akan dikenakan terhadap tertuduh ataupun sebaliknya.

Di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pahang) 2013 (EKJS), kesalahan mengganggu rumahtangga orang lain ada dinyatakan di bawah Seksyen 43, yang memperuntukkan sebagaimana berikut:

        Seksyen 43. Mengganggu rumah tangga orang lain

Mana-mana orang yang mengganggu rumah tangga orang lain dengan apa-apa cara dan mempengaruhinya supaya mengabaikan tanggungjawab rumah tangga sedia ada melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah boleh memerintahkan lelaki atau perempuan itu supaya kembali kepada isteri atau suaminya.


Mengikut Seksyen ini, terdapat beberapa elemen pembuktian yang perlu dikemukakan sebelum pihak ketiga itu boleh dituduh mengganggu rumahtangga orang lain.

Elemen pertama :      Mengganggu atau gangguan

Ertinya melakukan apa-apa perbuatan yang tidak disukai oleh pasangan suami isteri itu atau salah seorang darinya.  Kesalahan itu mudah dibuktikan sekiranya kedua-dua suami isteri itu tidak menyukai perbuatan pihak ketiga itu.  Tetapi lain halnya sekiranya salah seorang dari pasangan itu, redha dan tidak merasai terganggu oleh perbuatan pihak ketiga tersebut.


Maka perasaan terganggu ini dilihat dari perspektif pasangan yang membuat aduan, yang merasa terkesan akibat daripada perbuatan pihak ketiga itu.  Bukannya dari perspektif pasangan yang redha dan tidak merasa terganggu dengan perbuatan orang ketiga tersebut.  


Elemen kedua :          Cara gangguan

Segala cara yang disifatkan mengganggu kehidupan rumahtangga pasangan suami isteri itu.  Mungkin pada mulanya perbuatan itu tidak disifatkan sebagai gangguan tetapi kekerapan ianya dilakukan akan menimbulkan ketidakselesaan dan dianggap sebagai satu gangguan kepada pihak yang tidak menyukai akan perbuatan itu.  Walaupun perbuatan itu bukanlah satu jenayah pada pandangan mata kasar dan jika ianya jarang sekali dilakukan.  


Sebagai contohnya, selalu datang ke rumah, menalifon bertanya khabar, berbual dan bermesej, memberikan hadiah dan sebagainya.


Elemen ketiga :         Pengaruh

Bukti yang menunjukkan bahawa perubahan sikap pasangan itu adalah disebabkan oleh pengaruh pihak ketiga tersebut.  Dalam erti kata lain terdapat hasutan oleh pihak ketiga  supaya suami atau isteri itu berubah sikap.  Pengaruh atau hasutan ini biasanya dibuktikan daripada perbualan secara bertulis atau oral seperti SMS, WeChat,  Voice Mail, Whatsapp dan sebagainya.


Elemen keempat:      Mengabaikan tanggungjawab rumahtangga sedia ada

Ertinya akibat daripada hasutan dan pengaruh pihak ketiga itu, suami atau isteri yang telah terpengaruh itu tidak lagi menjalankan tanggungjawabnya di dalam rumahtangga sebagaimana yang biasanya dilakukan sebelum kehadiran pihak ketiga itu.


Sebagai contohnya; jika suami yang digoda dan tergoda oleh perempuan lain itu, maka dia mungkin tidak lagi ada masa untuk keluarganya atau tidak lagi memberikan nafkah untuk isteri dan anak-anaknya atau menjadi imam dalam solat atau memberikan perhatian terhadap segala permasalahan anak-anak dan sebagainya.

Manakala bagi seorang isteri yang digoda dan tergoda pula mungkin dia tidak lagi melayani suaminya sebaik dan semesra sebelumnya, tidak lagi menjalankan tanggungjawab dalam rumahtangga seperti mengemas rumah, memasak, mendidik anak-anak dan sebagainya. 

Untuk memastikan pendakwaan boleh dibuat di atas pertuduhan jenayah syariah di bawah Seksyen 43 ini, segala elemen pembuktian yang dinyatakan di atas perlu dibuktikan kesemuanya tanpa sebarang pengecualian.  

Sebagai kesimpulannya, Seksyen 43 ini cuba menggambarkan bahawa pihak ketiga itu dianggap telah mengganggu rumahtangga orang lain apabila kehadirannya telah membawa kesan negatif dalam  rumahtangga pasangan suami isteri itu.   


PERSOALAN

Bagaimana sekiranya orang ketiga itu tidak pernah menghasut dan mempengaruhi isteri atau suami kepada pasangan itu untuk mengabaikan tanggungjawab terhadap rumahtangganya?.  Bagaimana sekiranya pihak ketiga itu terlalu baik orangnya, begitu sensitif dan "caring", sentiasa memberikan kata-kata semangat, pesanan dan nasihat, lembut dan sabar orangnya?.  Suatu sifat positif yang kurang ada pada pasangan anda menyebabkan hati tertarik untuk mendampinginya dan mempunyai hubungan yang lebih serius dengannya.  

Bagaimana pula jika hubungan terlarang dengan pihak ketiga itu dilakukan dengan begitu professional sehinggakan pasangan anda tidak langsung menunjukkan sebarang perubahan sikap negatif walaupun anda tahu mereka mempunyai hubungan istimewa?.   Bagaimana jika anda tahu bahawa pada masa pasangan anda tidak bersama anda, waktu itu pihak ketiga adalah peneman peribadinya kemana sahaja?.

Bagaimana jika anda mengetahui bahawa usul tentang hubungan itu dibuat oleh pasangan anda sendiri?.  Bagaimana jika pasangan anda sendiri menyatakan bahawa punca atau sebab beliau berubah sikap bukanlah datangnya daripada pengaruh atau hasutan pihak ketiga tetapi atas kehendak beliau sendiri?.  Dan bagaimana pula jika pasangan itu memang tidak pernah menjalankan tanggungjawab sedia ada terhadap rumahtangga sebelum kehadiran pihak ketiga lagi?.


Bolehkah Seksyen 43 EKJS ini digunapakai terhadap pihak ketiga tersebut dalam semua situasi di atas?.  Adakah tindakan pihak ketiga itu tidak boleh disifatkan sebagai mengganggu rumahtangga orang lain dalam situasi itu?.

JAWAPAN :  Melihat kepada fahaman terhadap Seksyen 43 yang dijelaskan sebelum ini, tentunya dalam keadaan yang dinyatakan di atas, pertuduhan jenayah syariah itu tidak boleh dibuat terhadap pihak ketiga itu.   Sekiranyapun, dakwaan tetap dibuat, terdapat kemungkinan besar, pihak ketiga itu akan terlepas daripada pertuduhan yang sama.   

Alasannya adalah kerana Seksyen 43 itu hanya menekan kesan negatif hasil daripada gangguan daripada pihak ketiga itu.  Sekiranya kesan negatif itu tidak berlaku, walaupun dibuktikan gangguan itu wujud, maka kesemua elemen pembuktian dibawah Seksyen yang sama telah gagal dibuktikan. 

Jadi, bagaimana untuk memastikan pihak ketiga ini tidak boleh terlepas daripada perbuatan durjananya itu.   Ini cadangan kami. 

PENYELESAIAN

Peruntukkan di bawah Seksyen 43 EKJS itu perlu dipinda supaya kesalahan yang dilakukan merangkumi segala perbuatan pihak ketiga samaada perbuatan negatif mahupun positif kerana ianya tetap akan memberikan kesan yang negatif dalam rumahtangga orang yang diganggu itu.   

Elemen pembuktian ketiga dan keempat iaitu:  

".... mempengaruhinya supaya  mengabaikan tanggungjawab rumahtangga sedia ada...",
perlu dikeluarkan daripada Seksyen tersebut, supaya tindakan mengganggu itu menjadi satu kesalahan yang mudah untuk didakwa. 

Perkataan 'mengganggu' itu juga seharusnya ditambah dengan perkataan 'memikat' atau 'terpikat' supaya perbuatan pihak ketiga itu tidak hanya menjadi kesalahan apabila wujudnya perasaan rumahtangga pasangan itu diganggu, tetapi turut menjadi kesalahan walaupun tanpa disedari oleh pasangan suami atau isteri itu bahawa rumahtangganya sedang diganggu oleh pihak ketiga yang cuba memikat hati pasangannya itu. 

Selain daripada itu,  kami juga mencadangkan agar klausa terakhir dalam Seksyen 43 tersebut iaitu:

"...., dan Mahkamah boleh memerintahkan lelaki atau perempuan itu supaya kembali kepada isteri atau suaminya".

turut dipinda dengan membuang klausa tersebut memandangkan ianya menggambarkan bahawa gangguan pihak ketiga tersebut telah mengakibatkan suami atau isteri kepada pasangan tersebut telah keluar daripada rumah perkahwinan, sedangkan dalam kebanyakkan kes kecurangan dalam rumahtangga, pasangan suami isteri itu tetap dan masih tinggal bersama di dalam rumah perkahwinan mereka.

Tambahan lagi klausa yang sama telah diperuntukkan di dalam Seksyen 45 EKJS berkaitan kesalahan menghalang pasangan suami isteri itu daripada hidup bersama.  Seksyen 45 EKJS menyatakan sebagaimana berikut:

Seksyen 45. Menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri

Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah dengan sah daripada hidup sebagai suami isteri melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup bersama semula sebagai pasangan suami isteri.

Dengan itu peruntukkan di bawah Seksyen 43 EKJS seharusnya dipinda dan dibaca sebagaimana berikut:

Seksyen 43. Mengganggu dan/atau memikat suami atau isteri orang


Mana-mana orang yang mengganggu rumah tangga orang lain atau memikat atau menyebabkan supaya suami atau isteri orang itu terpikat kepadanya dengan apa cara sekalipun   melakukan suatu kesalahan yang boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.  


KESIMPULAN

Seksyen 43 EKJS tersebut digubal selaras dengan suruhan Allah s.w.t yang menyuruh umat manusia khususnya mereka yang beriman untuk menjaga pandangan matanya dan kemaluannya (nafsunya).

Allah s.w.t berfirman,

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ 
خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

Katakanlah kepada laki-laki yang beriman,’Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.’” (An-Nur [24] : 30).

Ibnu Katsir rahimahullah berkata,

هذا أمر من الله تعالى لعباده المؤمنين أن يغضوا من أبصارهم عما حرم عليهم، فلا ينظروا إلا إلى ما أباح لهم النظر إليه ، وأن يغضوا أبصارهم عن المحارم

Ini adalah perintah dari Allah s.w.t kepada hamba-hambaNya yang beriman untuk menjaga (menahan) pandangan mereka dari hal-hal yang diharamkan atas mereka. Maka janganlah memandang kecuali memandang kepada hal-hal yang diperbolehkan untuk dipandang. Dan tahanlah pandanganmu dari hal-hal yang diharamkan.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/41)

Menundukkan pandangan mata merupakan asas untuk menjaga nafsunya. Oleh karena itu, dalam ayat ini Allah s.w.t terlebih dulu menyebutkan perintah untuk menahan pandangan mata daripada perintah untuk menjaga kemaluan (nafsu).

Rasulullah s.a.w bersabda,

كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنَ الزِّنَا، مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ، فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ، وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الِاسْتِمَاعُ، وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلَامُ، وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ، وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا، وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى، وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ

Sesungguhnya Allah telah menetapkan atas diri anak keturunan Adam bagiannya dari zina. Dia mengetahui yang demikian tanpa dimungkiri. Mata bisa berzina, dan zinanya adalah pandangan (yang diharamkan). Zina kedua telinga adalah mendengar (yang diharamkan). Lidah (lisan) bisa berzina, dan zinanya adalah perkataan (yang diharamkan). Tangan bisa berzina, dan zinanya adalah memegang (yang diharamkan). Kaki bisa berzina, dan zinanya adalah ayunan langkah (ke tempat yang haram). Hati itu bisa berkeinginan dan berangan-angan. Sedangkan kemaluan membenarkan yang demikian itu atau mendustakannya.” (HR. Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda,

الْعَيْنُ تَزْنِي، وَالْقَلْبُ يَزْنِي، فَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا الْقَلْبِ التَّمَنِّي، وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ مَا هُنَالِكَ أَوْ يُكَذِّبُهُ

Mata itu berzina, hati juga berzina. Zina mata adalah dengan melihat (yang diharamkan), zina hati adalah dengan membayangkan (pemacu syahwat yang terlarang). Dan kemaluan membenarkan atau mendustakan semua itu.” (HR. Ahmad)


Adalah menjadi tanggungjawab penggubal undang-undang untuk memastikan setiap undang-undang yang digubal itu selari dengan hukum Allah dan boleh dipraktikkan dalam usaha memelihara maqasid as-syariah.  

Oleh yang demikian, diharap dengan pindaan yang dibuat terhadap Seksyen 43 EKJS itu, segala perlakuan pihak ketiga yang boleh menjejaskan kerukukan rumahtangga orang lain itu boleh disekat dan dihalang dengan sebaik mungkin.

Sekian, Wallahu a'lam.   



No comments:

Post a Comment