Wednesday, December 26, 2018

SEKSYEN 47 DAN SEKSYEN 48 ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM: SUATU PENILAIAN (Bahagian 2)

Image result for bismillahirrahmanirrahim



                                                     

Dalam membicarakan peruntukkan di bawah Seksyen 47 dan 48 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Pahang) - Bahagian 1 dulu, khususnya berkaitan Seksyen 47, terdapat beberapa Subseksyen yang  tidak disentuh seperti Subseksyen 15, 16 dan 17. 

Memandangkan Subseksyen 16 dan 17 tidak menimbulkan apa-apa isu perundungan, maka ianya  perlu dilihat secara sepintas lalu sebelum kita membicarakan tentang peruntukkan di bawah Subseksyen 15 Enakmen yang berkenaan. 


Subseksyen 16 dan 17 kepada Seksyen 47 hanya membicarakan  tempoh eddah setelah lafaz talaq atau cerai dibuat oleh suami.

Subseksyen 16 menyatakan tentang tempoh eddah talaq raj'i iaitu tiga kali suci bagi isteri yang tidak mengandung atau tiga bulan Qamariah bagi isteri yang telah putus atau tiada haid manakala Subseksyen 17 pula adalah tempoh eddah talaq raj'i bagi isteri mengandung yang akan berakhir dengan kelahiran anak tersebut.

Ianya adalah selari dengan  beberapa dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang mensyariatkan kewajipan eddah.  Antara dalil-dalil tersebut ialah:

i.     Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 228 
                       

yang bermaksud:


Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa `iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dan suami mempunyai satu darjat kelebihan atas isterinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

ii.    Firman Allah SWT dalam Surah al-Talaq ayat 4 

Image result for surah al talaq ayat 4                
 yang bermaksud:



Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh `iddah mereka) maka `iddahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga `iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh `iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah) sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.

iii.    Hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, daripada Aisyah r.a., katanya yang bermaksud:

Rasululah SAW telah memerintahkan Barirah untuk ber`iddah dengan tiga kali haid.

Seksyen 47(15) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam

Secara dasarnya Subseksyen 15 ini hanya berkait dengan peruntukkan kedua bagi Seksyen 47 sebagaimana yang dibincangkan di dalam Bahagian 1 penulisan ini iaitu fungsi jawatankuasa pendamai.

Seksyen 47(15) menyatakan:

Kehendak subseksyen (5) tentang rujukan kepada suatu jawatankuasa pendamai tidak terpakai dalam sesuatu kes—
 
(a)     di mana pemohon mengatakan  bahawa dia telah ditinggal langsung oleh pihak yang satu lagi itu dan tidak  tahu di mana pihak yang satu lagi itu  berada;

(b)    di mana pihak yang satu lagi itu bermastautin di luar Malaysia Barat dan ia tidak mungkin masuk ke dalam bidang kuasa Mahkamah yang berkenaan itu dalam masa enam bulan selepas tarikh permohonan itu;

(c)      di mana pihak yang satu lagi itu sedang dipenjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;

(d)    di mana pemohon mengatakan bahawa pihak yang satu lagi itu sedang mengidap penyakit otak yang tak boleh sembuh; atau

(e)   di mana Mahkamah berpuas hati bahawa ada hal keadaan yang luar biasa yang menyebabkan rujukan kepada suatu jawatankuasa pendamai tidak praktik.


Isu Pertama

Melihat kepada klausa (a), (b), (d) dan (e), mungkin benar  sukar untuk jawatankuasa pendamai menjalankan tanggungjawabnya untuk cuba menyelamatkan rumahtangga pasangan yang bergolak itu. 

Namun apakah rasionalnya untuk menafikan peranan jawatankuasa pendamai bagi klausa (c) itu.  Adakah hukuman penjara tiga tahun atau lebih itu menyebabkan kesukaran untuk berhubung atau mengakibatkan pesalah yang dipenjara itu menjadi seorang yang tidak waras atau  ianya boleh dikira sebagai satu faktor atau hal keadaan yang luar biasa sehinggakan usaha pendamaian adalah mustahil untuk dijalankan. 


Jawatankuasa pendamai perlu menjalankan tanggungjawabnya dalam cuba mendamaikan pasangan yang berkonflik itu walaupun salah seorang dari pasangan tersebut sedang menjalani hukuman penjara sekiranya terdapat kemungkinan yang munasabah untuk mewujudkan pendamaian diantara kedua belah pihak sebagaimana yang disarankan oleh Seksyen 47(5) Enakmen yang sama.


Sekiranya pendamaian tidak juga dapat dicapai maka jawatankuasa pendamai berhak untuk membuat laporan berkenaan dapatan mereka itu mengikut Seksyen 47(11) dan (14) Enakmen yang sama.  Ternyata Subseksyen 11 dan 14 itu merupakan jalan keluar yang telah sedia ada bagi mewajarkan usaha untuk perdamaian bagi satu pasangan yang berada di dalam penjara dan membuktikan bahawa ianya bukanlah suatu perkara yang mustahil untuk dipraktikkan.  


Meletakkan klausa (c) sebagai satu pengecualian terhadap peranan jawatankuasa pendamai ternyata satu perlanggaran kepada objektif peruntukkan kedua di dalam Seksyen 47 itu sendiri dan seharusnya dengan alasan itu ianya menjadi klausa (c) itu suatu yang tidak relevan dan tidak sah.  Dalam ertikata lain, klausa (c) itu seharusnya dibuang dan dikeluarkan daripada Subseksyen 15 itu. 


Isu Kedua

Ianya agak mudah difahami apabila kita meneliti peruntukkan di bawah Seksyen 47(15)(e) yang menyatakan bahawa rujukan kepada jawatankuasa pendamai tidak perlu dibuat apabila Mahkamah berpendapat bahawa pertikaian yang wujud diantara suami isteri itu melibatkan suatu isu yang luar biasa sehingga menjadikan rujukan tersebut adalah tidak praktikal.

Melihat kepada isu yang luar biasa itu, Mahkamah boleh terus mengarahkan supaya prosiding Hakam mengikut Seksyen 48 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam dijalankan bagi menyelesaikan pertikaian tersebut tanpa perlu melalui prosiding jawatankuasa pendamai, selaras dengan peruntukkan di bawah Seksyen 47(14) Enakmen yang sama.

Namun tidak dinyatakan apakah hal keadaan yang luar biasa itu dan bagaimanakah ianya harus dibuktikan.  Setakat hari ini tiada prosidur yang jelas samaada di dalam Enakmen sendiri ataupun melalui arahan amalan bagaimana hal keadaan yang luar biasa itu perlu dibuktikan.  

Disebabkan itu, Mahkamah telah mengambil pendekatan yang amat mudah dalam menilai hal keadaan yang dikatakan luar biasa itu.  Mahkamah akan hanya melihat segala alegasi di dalam Pernyataan Tuntutan di dalam Saman dan mendengar permohonan lisan oleh pihak peguam syarie atau pemohon sendiri dalam menentukan sama ada peruntukkan di bawah klausa (e) Subseksyen 15 terpakai di dalam kes yang dibicarakan itu.  Satu prosidur yang terlalu mudah dan ternyata luar biasa digunapakai oleh Mahkamah dalam membuktikan suatu keadaan yang luar biasa!. 


Dalam menjalankan bidang kuasanya yang luas itu, Mahkamah tidak langsung memberikan penekanan supaya hal keadaan yang luar biasa itu dibuktkan dengan serius melalui satu perbicaraan interlokutori.   

Seharusnya Mahkamah menetapkan bahawa satu permohonan secara rasmi dibuat oleh Pemohon melalui Notis Permohonan dan Afidavit bagi mendapatkan pengecualian daripada menjalani prosiding jawatankuasa pendamai itu.   Dan hanya setelah meneliti kesemua Afidavit yang difailkan oleh kedua belah pihak beserta segala ekshibit yang dilampirkan dan hujahan masing-masing, barulah Mahkamah boleh menentukan sama ada isu yang dibangkitkan itu adalah merupakan hal keadaan yang luar biasa ataupun sebaliknya. 

Isu Ketiga

Walaupun pengecualian terhadap rujukan kepada jawatankuasa pendamai mudah difahami di dalam situasi di bawah klausa (e), namun ianya tidak semudah itu jika ianya cuba diaplikasikan ke dalam situasi di bawah klausa (a), (b) dan (d). 

Dalam ketiga-tiga situasi tersebut, sememangnya lantikan jawatankuasa pendamai adalah mustahil.  Ini kerana tanpa penglibatan secara aktif dari suami dan isteri yang bertelagah itu ataupun salah seorang darinya akibat daripada keadaan yang dinyatakan di dalam klausa (a), (b) dan (d) itu, segala tindakan yang telah digariskan di dalam Subseksyen 5 sehingga 14 Enakmen tersebut tidak boleh dilaksanakan. 


Persoalannya adalah, sekiranya pengecualian rujukan kepada jawatankuasa pendamai diberikan bagi klausa (a), (b) dan (d) itu, adakah Mahkamah boleh mengarahkan supaya prosiding Hakam dijalankan bagi kes tersebut mengikut Subseksyen 14 Seksyen 47 itu.  Adakah prosiding Hakam boleh dipraktikkan apabila salah satu pihak kepada rumahtangga tersebut tidak dapat dikesan ataupun tidak mungkin akan balik ke Malaysia dalam tempoh enam bulan ataupun beliau seorang yang tidak sempurna akal untuk melantik dan menyerahkan kuasa kepada Hakam.

Oleh itu adalah jelas bahawa bukan sahaja jawatankuasa pendamai atau prosiding Hakam tidak boleh dilaksanakan bagi kesemua keadaan di dalam klausa (a), (b) dan (d) itu, malahan perceraian secara baik mengikut Seksyen 47 (1) sehingga (4) juga tidak boleh dijadikan kenyataan.

Cadangan Penyelesaian

Seharusnya klausa  (a), (b) dan (d) bagi Seksyen 47(15) ini tidak perlu diwujudkan sama sekali kerana ianya tidak relevan langsung dengan prosiding jawatankuasa pendamai ataupun prosiding Hakam dan juga konsep perceraian secara damai

Ketiga-tiga klausa tersebut seharusnya dijadikan pengecualian terhadap prosiding di bawah Seksyen 47 itu sendiri.  Ini bermakna sekiranya wujudnya situasi di dalam klausa  (a), (b) ataupun (d) itu, maka Pemohon/Plaintif langsung tidak boleh memfailkan permohonan perceraian di bawah Seksyen 47 dan bukannya memohon supaya prosiding jawatankuasa pendamai itu dikecualikan. 

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam sendiri telah memberikan peruntukkan yang jelas dalam menangani permasalahan yang wujud akibat daripada isu di bawah klausa  (a), (b) ataupun (d) itu.

Sekiranya satu-satu pihak itu memohon untuk bercerai di atas alasan ditinggalkan oleh suaminya sebagaimana yang dinyatakan di dalam klausa  (a) atau (b) maka beliau berhak dan lebih sesuai untuk membuat permohonan perceraian secara takliq ataupun fasakh.


Seksyen 50 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Pahang) ada memperuntukkan bahawa: 

(1)           Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan ta’liq yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada Mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku.



(2)           Mahkamah hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu penyiasatan mengenai sahnya perceraian itu dan, jika berpuas hati bahawa perceraian itu adalah sah mengikut Hukum Syarak, hendaklah mengesahkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.



Mengikut keterangan takliq yang dibaca oleh suami sewaktu pernikahan sebagaimana yang ditertera di dalam Sijil Nikah, ada dinyatakan sebagaimana berikut:



…“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya ............................ selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh masa saya yang tersebut padahal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah dan apabila sabit aduannya di sisi Mahkamah Syariah dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalaq ia dengan cara talaq khulu’”

Seksyen 53 Enakmen yang sama pula memperuntukkan bahawa: 


(1)         Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu—

    (a)          bahawa tempat di mana beradanya suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;

    (b)     bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan; 

Manakala peruntukkan di bawah Seksyen 53 (1)(k) dan (l) adalah sesuai digunakan untuk mendapatkan fasakh bagi situasi di dalam klausa (d) Sekyen 47 tersebut. 

Seksyen 53 (1)(k) dan (l) menyatakan bahawa

    (k)       bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguh pun berkebolehan memberi izin yang sah, adalah seorang yang sakit otak, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31/52] dan sakit otaknya adalah dari suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin; atau

    (l)     apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, memandangkan terdapat peruntukkan lain di dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Pahang) bagi membubarkan perkahwinan di atas alasan pemohon menghilangkan diri atau mengidap sakit otak, maka ianya tidak seharusnya diletakkan di bawah Seksyen 47, Enakmen yang sama.  Lebih-lebih lagi ianya adalah mustahil untuk pihak yang terlibat itu untuk memberikan persetujuannya ataupun melantik wakil bagi dirinya ataupun memberi kuasa kepada Hakam untuk membuat keputusan bagi pihaknya.   

Dengan pembuangan klausa (a), (b), (c) dan (d) daripada Subseksyen (15), maka satu-satunya pengecualian yang boleh dibuat terhadap prosidng jawatankuasa pendamai adalah dalam situasi di bawah klausa (e) sahaja.  Untuk itu, pindaan yang sewajarnya perlu dibuat kepada Seksyen 47(15) bagi menjelaskan prosidur yang seharusnya digunapakai dalam membuktikan isu yang luar biasa itu.




Sekian. 




















Wednesday, December 19, 2018

SEKSYEN 47 DAN SEKSYEN 48 ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM: SUATU PENILAIAN (Bahagian 1)

                                                        Image result for bismillahirrahmanirrahim

Apabila perceraian difikirkan pilihan terbaik dalam menamatkan satu-satu konflik rumahtangga, pasangan suami isteri itu akan ke Mahkamah bagi tujuan mengadu nasibnya dan bertanyakan langkah-langkah yang perlu diambil dan prosidur yang perlu dilalui dalam mengakhiri ikatan perkahwinan mereka.

Pada kebiasaannya mereka akan diberikan borang permohonan perceraian untuk dipenuhi dan difailkan di Mahkamah.   Di situ bermulalah prosidur perceraian di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam. 

Daripada perkhabaran yang mereka terima dan fahami, prosidur perceraian tersebut adalah mudah dan tidak memerlukan khidmat peguam untuk mendapatkan perintah perceraian daripada Mahkamah.  

Pada telahan mereka sang suami akan hadir ke Mahkamah setelah menerima serahan Saman dan kemudiannya akan melafazkan talaq di hadapan Hakim apabila diminta untuk berbuat demikian. Mereka yakin dan percaya bahawa suami mereka akan melafazkan talaq itu, berdasarkan persetujuan lisan yang pernah diungkapkan oleh si suami sewaktu bertelingkahan hangat antara keduanya. Proses perceraian itu akan menjadi begitu mudah, sehinggakan mereka tidak sempat untuk melepaskan keluhan kepenatan. 

Malangnya mereka terlupa atau mungkin tidak mengetahui bahawa terdapat banyak perkara lain yang bersangkutan dengan permohonan di bawah Seksyen 47 itu, yang boleh menyebabkan mereka rasakan bagai terperangkap di dalam mimpi ngeri yang panjang.  Malahan adakalanya mereka sendiri tidak mengetahui apakah jenis perceraian yang mereka pohon itu dan sama ada pasangan mereka itu bersetuju untuk membacakan lafaz talaq bagi menceraikan mereka.  Lebih malang lagi, mereka tidak mengetahui bahawa permohonan yang mereka failkan itu, bukan hanya boleh membawa kepada perceraian tetapi ianya juga boleh menyebabkan mereka terpaksa melalui proses perdamaian, walaupun bukan itu yang mereka mahukan. 

Meneliti peruntukkan di bawah Seksyen 47, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam kita akan mendapati bahawa Seksyen ini boleh dibahagikan kepada dua peruntukkan yang berbeza.  Bahagian pertama Seksyen tersebut menyatakan sebagaimana berikut:

Seksyen 47. Perceraian dengan talaq atau dengan perintah

(1)    Seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai hendaklah menyerahkan suatu permohonan untuk perceraian kepada Mahkamah dalam borang yang ditetapkan, disertai dengan suatu Afidavit yang mengandungi—
    (a)    butir-butir mengenai perkahwinan itu dan nama, umur dan jantina anak-anak, jika ada, hasil dari perkahwinan itu;

    (b)  butir-butir mengenai fakta-fakta yang memberi bidang kuasa kepada Mahkamah di bawah seksyen 45;

    (c)     butir-butir mengenai apa-apa prosiding yang dahulu mengenai hal ehwal suami isteri antara pihak-pihak itu, termasuk tempat prosiding itu;

    (d)    suatu pernyataan tentang sebab-sebab hendak bercerai;

    (e)     suatu pernyataan tentang sama ada apa-apa, dan, jika ada, apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk mencapai perdamaian;

    (f)      syarat apa-apa perjanjian berkenaan dengan nafkah dan tempat kediaman bagi isteri dan anak-anak dari perkahwinan itu, jika ada, peruntukan bagi pemeliharaan dan penjagaan anak-anak dari perkahwinan itu, jika ada, dan pembahagian apa-apa aset yang diperolehi melalui usaha bersama pihak-pihak itu, jika ada, atau, jika tiada, sesuatu persetujuan tersebut telah tercapai, cadangan pemohon mengenai hal-hal itu; dan

    (g)       butir-butir mengenai perintah yang diminta.

(2)    Selepas menerima sesuatu permohonan untuk perceraian, Mahkamah hendaklah menyebabkan satu saman diserahkan kepada pihak yang satu lagi itu bersama dengan satu salinan permohonan itu dan akuan berkanun yang dibuat oleh pemohon, dan saman itu hendaklah mengarahkan pihak yang satu lagi itu hadir di hadapan Mahkamah untuk membolehkan Mahkamah menyiasat sama ada pihak yang satu lagi itu bersetuju atau tidak terhadap perceraian itu.

(3)    Jika pihak yang satu lagi itu bersetuju terhadap perceraian itu dan Mahkamah berpuas hati selepas penyiasatan yang wajar bahawa perkahwinan itu telah pecah belah dengan tak dapat dipulihkan, maka Mahkamah hendaklah menasihatkan suami supaya melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah.

(4)         Mahkamah hendaklah merekodkan hal satu talaq itu, dan hendaklah menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

Peruntukkan ini membolehkan pihak-pihak bercerai secara damai iaitu dengan persetujuan bersama untuk mengakhiri kontrak perkahwinan mereka tanpa perlunya bergaduh dan berbalah untuk mendapatkan keputusan yang sama.  

Prosiding mengikut bahagian ini adalah mudah.  Pihak pemohon samaada isteri ataupun suami akan membuat permohonan perceraian dengan mengisi borang perceraian yang mengandungi butiran-butiran sebagaimana yang dinyatakan di atas. Failkan ke Mahkamah dan kemudiannya menyerahkan Saman tersebut kepada pihak yang satu lagi.

Pihak-pihak kemudiannya perlu hadir ke Mahkamah pada tarikh yang telah ditetapkan.  Setelah Mahkamah mendengar persetujuan pihak Defendan untuk bercerai, maka Mahkamah akan mengarahkan pihak suami untuk membaca lafaz cerai. 

Walaupun peruntukkan di bawah Seksyen 47 ini nampak mudah dan menyenangkan pihak-pihak untuk bercerai, namun peruntukkan tersebut tidak tamat di situ.   Sub-seksyen (1) sehingga (4) itu hanya sebahagian sahaja daripada isi di dalam Seksyen 47. 

Selanjutnya terdapat Sub-seksyen (5) sehingga (14) yang dikenali sebagai prosiding Jawatankuasa Pendamai. Peruntukkan ini adalah sebagai alternatif sekiranya perceraian secara baik atau damai tersebut tidak berjaya kerana salah satu pihak enggan untuk bercerai.   Ini adalah peruntukkan kedua yang ada di dalam Seksyen 47 tersebut.

Sekiranya peruntukkan yang pertama adalah untuk proses perceraian; peruntukkan yang kedua pula adalah untuk proses memperdamaikan kedua belah pihak yang bertelagah itu.

Sub-seksyen (5) sehingga (14) memperuntukkan bahawa:

(5)    Jika pihak yang satu lagi tidak bersetuju terhadap perceraian itu atau jika Mahkamah berpendapat bahawa ada kemungkinan yang munasabah bagi suatu perdamaian antara pihak-pihak itu, Mahkamah hendaklah dengan seberapa segera yang boleh melantik suatu jawatankuasa pendamai terdiri daripada seorang Pegawai Agama sebagai pengerusi dan dua orang lain, seorang untuk bertindak bagi pihak suami dan seorang lagi bagi isteri, dan merujukkan kes itu kepada jawatankuasa itu.


(6)       Pada melantik dua orang itu di bawah subseksyen (5), Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara-saudara karib pihak-pihak itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.


(7)   Mahkamah boleh memberi arahan-arahan kepada jawatankuasa pendamai itu tentang hal menjalankan perdamaian itu dan ia hendaklah menjalankannya mengikut arahan-arahan itu.



(8)       Jika jawatankuasa itu tidak dapat bersetuju atau jika Mahkamah tidak berpuas hati tentang cara ia menjalankan perdamaian itu, Mahkamah boleh memecat jawatankuasa itu dan melantik jawatankuasa lain bagi menggantikannya.

(9)   Jawatankuasa itu hendaklah berusaha mencapai perdamaian dalam tempoh enam bulan dari tarikh ia dibentuk atau dalam tempoh yang lebih lama mengikut sebagaimana yang dibenarkan oleh Mahkamah.

(10)     Jawatankuasa itu hendaklah meminta pihak-pihak itu hadir dan hendaklah memberi tiap-tiap seorang dari mereka peluang untuk didengar dan boleh mendengar mana-mana orang lain dan membuat apa-apa penyiasatan yang difikirkannya patut dan boleh, jika ia fikirkan perlu, menangguhkan prosidingnya dari semasa ke semasa.

(11)      Jika jawatankuasa pendamai itu tidak dapat mencapai perdamaian dan tidak dapat memujuk pihak-pihak itu supaya hidup semula bersama sebagai suami isteri, jawatankuasa itu hendaklah mengeluarkan suatu perakuan tentang hal yang demikian itu dan boleh melampirkan pada perakuan itu apa-apa syor yang difikirkannya patut berkenaan dengan nafkah dan penjagaan anak-anak belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada, berkenaan dengan pembahagian harta, dan berkenaan dengan hal-hal lain berhubung dengan perkahwinan itu.

(12)     Tiada seseorang Peguam Syarie boleh hadir atau bertindak bagi mana-mana pihak dalam sesuatu prosiding di hadapan sesuatu jawatankuasa pendamai dan tiada sesuatu pihak boleh diwakili oleh sesiapa jua, selain dari seorang ahli keluarganya yang karib, tanpa kebenaran jawatankuasa pendamai itu.

(13)    Jika jawatankuasa itu melaporkan kepada Mahkamah bahawa perdamaian telah tercapai dan pihak-pihak itu telah hidup semula bersama sebagai suami isteri, Mahkamah hendaklah menolak permohonan untuk perceraian itu.

(14)   Jika jawatankuasa mengemukakan kepada Mahkamah suatu perakuan bahawa ia tidak dapat mencapai perdamaian dan tidak dapat memujuk pihak-pihak itu supaya hidup semula bersama sebagai suami isteri, Mahkamah hendaklah menasihatkan suami yang berkenaan itu melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah, dan jika Mahkamah tidak dapat mendapatkan suami itu hadir di hadapan Mahkamah untuk melafazkan satu talaq atau jika suami itu enggan melafazkan satu talaq, maka Mahkamah hendaklah merujuk kes itu kepada Hakam untuk tindakan menurut seksyen 48. 


Proses Jawatankuasa Pendamai ini boleh menjadi mimpi ngeri buat pihak yang ingin bercerai tetapi pasangannya enggan berbuat demikian.   Melalui proses perdamaian ini kedua belah pihak perlu melantik wakil untuk menyiasat kedudukan rumahtangga mereka samaada ianya masih boleh diselamatkan ataupun sebaliknya.  

Mahkamah akan melantik seorang pegawai daripada Jabatan Agama untuk menjadi pengerusi di dalam  prosiding Jawatankuasa Pendamai tersebut dan menyerahkan kes tersebut kepada pihak Jabatan Agama untuk meneruskan prosiding yang sama.

Tempoh masa yang diambil untuk melantik wakil bagi kedua-dua pihak sahaja akan memakan masa kadang-kala berbulan lamanya.  Masalah timbul apabila kedua-dua pihak atau salah satu pihak gagal untuk mengemukakan nama wakil yang bersetuju untuk menjadi wakil mereka di dalam Jawatankuasa Pendamai tersebut.  Dan selalunya pihak suami akan cuba melengah-lengahkan prosiding tersebut dengan cara lambat mengemukakan nama wakil bagi pihaknya.  

Itu belum lagi dikira tempoh yang diambil untuk proses perbincangan dan siasatan oleh Jawatankuasa Pendamai. Mengikut Sub-seksyen (9) Jawatankuasa tersebut hendaklah berusaha untuk memperdamaikan kedua-dua pihak itu dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.   

Menurut Sub-seksyen (11) dan (13) Enakmen yang sama, di hujung tempoh siasatan Jawatankuasa Pendamai perlu mengemukakan laporan kepada Mahkamah samaada mereka telah berjaya mendamaikan kedua belah pihak yang bertelagah tersebut ataupun sebaliknya.

Dan sekiranya Mahkamah mendapati bahawa rumahtangga tersebut tidak dapat diselamatkan lagi, maka  Mahkamah  akan menasihati si suami untuk melafazkan talaq bagi membubarkan perkahwinan tersebut.  Namun, sekiranya suami itu tidak hadir ke Mahkamah atau enggan melafazkan talaq terhadap isterinya, maka Mahkamah perlu meneruskan prosiding yang selanjutnya iaitu Prosiding Hakam di bawah Seksyen 48 sebagaimana yang diperuntukkan oleh Sub-seksyen (14). 

Jika dihitung tempoh masa yang diambil dari mula permohonan perceraian difailkan sehingga keputusan Jawatankuasa Pendamai diperolehi oleh Mahkamah, ianya mengambil masa hampir satu tahun tanpa membuahkan hasil yang dihajatkan.

Dan sekiranya prosiding Hakam pula perlu dilalui, bermakna satu lagi jalan berliku perlu ditempohi oleh pihak isteri sebelum hasrat beliau untuk bercerai boleh terlaksana.


Seksyen 48. Timbangtara oleh Hakam


(1)   Jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah boleh melantik, mengikut Hukum Syarak, dua orang penimbangtara atau Hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-masing.


(2)    Pada melantik Hakam di bawah subseksyen (1) Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara-saudara karib pihak-pihak yang berkenaan itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.



(3)    Mahkamah boleh memberi arahan-arahan kepada Hakam tentang hal menjalankan penimbangtaraan dan mereka hendaklah menjalankannya mengikut arahan-arahan itu dan Hukum Syarak.

(4)       Jika Hakam tidak dapat bersetuju, atau jika Mahkamah tidak puas hati dengan cara mereka menjalankan penimbangtaraan itu, Mahkamah boleh memecat mereka dan melantik Hakam lain bagi menggantikan mereka.

(5)      Hakam hendaklah berusaha untuk mendapatkan kuasa penuh daripada prinsipal mereka masing-masing dan boleh, jika kuasa mereka membenarkan, melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah jika dibenarkan sedemikian oleh Mahkamah, dan jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah merekodkan lafaz satu talaq itu, dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan. 

(6)      Jika Hakam berpendapat bahawa pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan penceraian oleh kerana sesuatu sebab, Mahkamah hendaklah melantik Hakam lain dan hendaklah memberi kepada mereka kuasa untuk memerintahkan perceraian dan hendaklah, jika mereka berbuat demikian, merekodkan perintah itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(7)     Melainkan jika dia adalah anggota keluarga terdekat pihak itu, maka tiada seorang pun atau Peguam Syarie boleh dibenarkan hadir atau mewakili mana-mana pihak di hadapan Hakam.

Proses lantikan Hakam adalah agak sama dengan lantikan Jawatankuasa Pendamai, tetapi berbeza dari fungsi dan kuasa.  Cumanya, kali ini ianya tidak melibatkan Pegawai Agama seperti di bawah Jawatankuasa Pendamai. Jika fungsi Jawatankuasa Pendamai pada asasnya adalah untuk mencari jalan dan menasihati kedua belah pihak untuk berdamai, Hakam pula berperanan untuk mendapatkan mandat daripada kedua belah pihak untuk berbincang sesama mereka berkenaan bagaimana kaedah perceraian itu perlu dibuat dan seterusnya memberikan kuasa kepada Hakam tersebut untuk melafazkan talaq.

Permasalahan yang sama sewaktu mencari wakil bagi Jawatankuasa Pendamai akan timbul kembali dan mungkin akan menjadi bertambah rumit sekiranya orang yang pernah menjadi ahli Jawatankuasa Pendamai tersebut tidak lagi mahu bertindak sebagai Hakam di dalam prosiding yang dikenali sebagai Majlis Tahkim ini. 

Keadaan akan menjadi lebih rumit sekiranya pihak suami langsung enggan untuk melantik Hakam bagi mewakilinya dan/atau memberikan kuasa kepada Hakam tersebut untuk melafazkan talaq bagi pihak beliau.  Prosiding tersebut mungkin akan terus menjadi tergantung sekiranya pihak suami mengambil tindakan untuk langsung tidak menghadiri Mahkamah. 

Mahkamah bukan sahaja tidak mempunyai kuasa untuk melantik Hakam sekiranya mana-mana pihak gagal untuk melantik Hakamnya, malahan Mahkamah juga tidak mempunyai kuasa di bawah Enakmen ini ataupun mana-mana Enakmen lain, untuk memaksa pihak suami untuk melantik Hakam dan seterusnya memberikan kuasa melafazkan talaq tersebut tanpa kerelaan suami itu. Akibat daripada itu pihak isteri akan merasakan dirinya digantung tidak bertali dan tiadanya keadilan bagi dirinya. 

Tetapi lain pula keadaannya, sekiranya pihak suami bersetuju untuk melantik Hakam dan memberikan kuasa kepada Hakam untuk melafazkan talaq, tetapi Hakam tersebut sendiri enggan melaksanakan kuasa yang telah diberikan itu.   Dalam keadaan ini, Mahkamah boleh melantik Hakam lain untuk menggantikan Hakam tersebut dengan kuasa yang sama dengan tujuan untuk melafazkan talaq yang tidak dilaksanakan oleh Hakam yang sebelumnya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Subseksyen (6) kepada Seksyen 48 tersebut.  

Persoalannya ialah bolehkah Hakam baru dilantik bagi menggantikan Hakam yang dilantik oleh suami tersebut, sekiranya tiada akad lantikan dibacakan oleh suami bagi melantik Hakam baru itu?.   Sekiranya dilihat dan diambil perkiraan kaedah wakalah yang digunapakai di Mahkamah pada hari ini, ternyata lantikan kedua itu tidak sah tanpa akad baru oleh pihak suami. 

Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil satu inisiatif dengan mewujudkan Kaedah-kaedah Hakam bagi membicarakan secara mendalam dan jelas persoalan prosidur dan kaedah menjalankan Majlis Tahkim tersebut .

Memandangkan negeri-negeri lain masih belum mempunyai kaedah-kaedah hakam, maka rujukan kepada Kaedah-kaedah Hakam Negeri Selangor ini perlu dibuat bagi memahami dengan lebih mendalam bagaimana peruntukkan di bawah Seksyen 48 tersebut diaplikasikan di Negeri Selangor. 

Di dalam kaedah tersebut ada diperuntukkan bahawa Mahkamah boleh melantik Hakam sekiranya pihak-pihak ataupun salah satu pihak gagal atau enggan melantik Hakam dengan tujuan melambatkan prosiding Majlis Tahkim tersebut. 

Juga dijelaskan bahawa tujuan lantikan Hakam bagi pihak suami adalah untuk melafazkan talaq manakala lantikan Hakam bagi pihak isteri adalah untuk menerima lafaz khuluq di hadapan Hakim Mahkamah. 

Selain itu Hakam bagi kedua belah pihak juga mempunyai kuasa untuk berunding dan memutuskan jumlah bayaran iwad atau tebus talaq yang perlu dibayar oleh isteri bagi perceraian secara khuluq itu. 

Namunpun begitu persoalan yang sama berkenaan dengan punca kuasa Mahkamah dalam melantik Hakam tanpa kebenaran dan kerelaan serta akad daripada suami ataupun isteri masih perlu dipertimbangkan  dan diteliti sepenuhnya di dalam membicarakan Kaedah-kaedah Hakam tersebut. 

Bagaimana kuasa mutlak suami dalam menceraikan isterinya itu boleh berpindah kepada Mahkamah tanpa akad ijab dan qabul yang jelas adalah suatu persoalan undang-undang yang serius dan sememangnya boleh dipertikaikan sekiranya ianya terjadi. 


JALAN PENYELESAIAN

Adalah dicadangkan agar kedua-dua peruntukkan di dalam Seksyen 47 tersebut dipisahkan keduanya. Prosiding Hakam di dalam Seksyen 48 juga perlu diubahsuai.  Ini kerana ianya tidak bertepatan dengan dalil di dalam Surah An-Nisa ayat 35:

Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.

Seharusnya diwujudkan terlebih dahulu Majlis Tahkim di Mahkamah ataupun Pejabat Agama untuk rujukan kedua belah pihak yang bersengketa.  Kewujudan Majlis Tahkim ini adalah selari dengan peruntukkan di dalam Seksyen 47 (5) hingga (14) yang membicarakan tentang Jawatankuasa Pendamai di atas.

Majlis Tahkim ini adalah lebih mirip kepada sesi kaunseling dengan kehadiran dua orang wakil yang dikenali sebagai Hakam bagi menyokong dan menasihati kedua belah pihak yang bertelagah itu untuk berdamai. Seorang pengerusi samaada pegawai Jabatan Agama ataupun pegawai Mahkamah sendiri perlu dilantik untuk mengendalikan Majlis Tahkim tersebut. Dan pegawai tersebut perlulah mempunyai kemahiran dalam ilmu kaunseling keluarga dan juga fiqh munakahat serta undang-undang keluarga Islam supaya mereka boleh memberikan nasihat yang sebaiknya bagi kedua pasangan ini dan juga Hakam bagi keduanya.  

Sebarang aduan dan perakuan oleh mana-mana pihak samaada suami atau isteri terhadap pasangannya hendaklah terlebih dahulu diambil dan direkodkan oleh pengerusi.  Kemudiannya barulah diadakan perbincangan dan usul dalam mendamaikan kedua belah pihak yang bertelagah itu.   

Majlis Tahkim tersebut perlu dilaksanakan untuk beberapa sesi sebelum keputusan dan laporan akhir dibuat oleh pihak pengerusi.  Sekiranya perdamaian yang diusahakan gagal atau salah satu pihak enggan untuk memberikan kerjasama dalam usaha damai tersebut, maka laporan bertulis tersebut boleh digunakan untuk rujukan Mahkamah.   

Sekiranya terdapat pengakuan yang direkodkan di dalam Majlis Tahkim itu, maka ianya boleh diambil sebagai satu Iqrar oleh pasangan atau salah satu daripada pihak yang bertikaian tersebut.  Manakala sekiranya salah satu pihak tidak hadir dalam sesi yang diadakan, maka laporan oleh Majlis Tahkim itu boleh diambil sebagai satu bayyinah tentang wujudnya shiqaq dalam rumahtangga tersebut yang tidak boleh diperdamaikan.  Pasangan yang gagal dalam usaha damai melalui Majlis Tahkim tersebut berhak untuk menggunakan bukti Iqrar ataupun Laporan Majlis Tahkim sebagai bayyinah dalam permohonan perceraiannya melalui fasakh atau selainnya. 

Dan sekiranya setelah melalui sesi Tahkim tersebut pihak-pihak bersetuju bahawa mereka tidak boleh hidup sebagai suami isteri dan bersetuju untuk bercerai secara damai maka permohonan perceraian melalui persetujuan bersama di bawah Seksyen 47 (yang telah dipinda) boleh dibuat di Mahkamah. 

Banyak faedah yang boleh diperolehi melalui kaedah ini iaitu:- 

Pertamanya, pihak-pihak tidak perlu pergi ke Mahkamah dalam keadaan tidak pasti samaada pasangannya bersetuju untuk bercerai atau sebaliknya sebagaimana yang diamalkan pada masa ini.

Keduanya, pihak-pihak tidak lagi perlu melalui dua proses iaitu Jawatankuasa Pendamai dan Majlis Tahkim sebelum perceraian boleh berlaku.  Atau hidup bagai digantung tidak bertali sekiranya suami enggan melepaskannya dari ikatan perkahwinan mereka.   

Ketiganya, pihak pemohon tidak perlu menunggu tindakan pihak sebelah untuk melantik wakilnya untuk menghadiri Majlis Tahkim tersebut.  Ini  kerana pihak pengerusi Majlis Tahkim boleh membuat laporan sekiranya salah satu pihak enggan hadir pada beberapa sesi Majlis Tahkim yang telah diadakan. 

Keempat, tiada persetujuan pihak suami untuk memberikan wakalah dan kuasa kepada Hakam untuk menceraikan isterinya perlu dibuat memandangkan Majlis Tahkim itu bukannya bertujuan untuk menceraikan pasangan tersebut tetapi lebih untuk memperdamaikan kedua belah pihak itu. Ianya adalah satu manifestasi pematuhan suruhan Allah s.w.t di dalam Surah An-Nisa ayat 35.

Kelima, sekiranya tiada perdamaian, pihak isteri mempunyai bukti kukuh tentang shiqaq yang berlaku samaada dalam bentuk ikrar ataupun perakuan saksi-saksi di dalam Majlis Tahkim tersebut yang amat membantu dalam permohonan perceraiannya di Mahkamah.  

Sekian.