Monday, July 16, 2018

AHMADIYYAH QADIANI: KONFLIK ANTARA FATWA DAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN




Beberapa hari lalu kami ada membaca berita tentang kemenangan pengikut jemaah Ahmadiyyah Qadiani  di dalam permohonan semakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam sebagaimana pautan di atas.  Kurang jelas dengan berita tersebut kami telah membaca pula liputan yang dibuat oleh Freemalaysiatoday berkaitan isu yang sama. 





Memandangkan kes tersebut adalah rentetan daripada peristiwa yang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya, maka kami telah mencari liputan akhbar pada masa itu bagi memahami dengan lebih mendalam fakta kes tersebut sebagaimana yang dilaporkan.  Dan hasilnya kami menemui liputan akhbar yang dibuat oleh Malaymail yang disiarkan pada 03 Januari 2015. 


Setelah meneliti laporan ketiga-tiga akhbar itu, (tanpa akses kepada fakta kes dan keputusan penuh Mahkamah Tinggi tersebut) kami membuat kesimpulan fakta kes sebagaimana berikut:-

1)    Pada 11 April, 2014, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah membuat serbuan di sebuah premis rumah kedai di Taman Dolomite, Batu Caves, Selangor;


2)     Dalam serbuan itu, seramai 39 orang termasuk 8 orang pemohon suaka dari Pakistan, 2 orang warga India, 1 orang warga Indonesia dan 3 orang anak kecil telah ditahan di atas alasan mereka mengerjakan solat Jumaat bukan di kawasan yang dibenarkan;


3)     Kesemua mereka telah diarahkan untuk hadir ke Mahkamah Syariah Gombak pada bulan Oktober and November tahun yang sama untuk menghadapi pendakwaan;


4)    Namun begitu arahan tersebut telah ditangguhkan sehingga keputusan kebenaran untuk memfailkan Permohonan Semakan yang telah difailkan oleh kumpulan tersebut di Mahkamah Sivil didengar dan diputuskan;


5)   Kumpulan tersebut memohon deklarasi bahawa siasatan ke atas mereka sebelum pendakwaan dibuat oleh JAIS  melanggar hak mereka di bawah Perlembagaan Malaysia dan bertentangan dengan Enakmen Pentadbiran Undang-undang Syariah (Negeri Selangor) 2003 memandangkan jemaah Ahmadiyyah Qadiani 
telah difatwakan KAFIR oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor pada 22 Jun, 1998;


6)     Kumpulan tersebut juga memohon Perintah Mandamus yang mewajibkan pihak berkuasa agama negeri Selangor mematuhi fatwa tersebut dan menghentikan segala siasatan untuk tujuan pendakwaan terhadap mereka;


7)      Pada 14 Ogos 2014, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah   memberikan kebenaran kepada kumpulan tersebut untuk meneruskan dengan permohonan semakan terhadap penangkapan oleh JAIS itu; dan


8)     Akhirnya Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah mendengar Permohonan Semakan oleh kumpulan jemaah Ahmadiyyah Qadiani
 tersebut telah memutuskan bahawa JAIS tiada bidang kuasa untuk menyiasat dan mendakwa mereka atas  kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Islam Negeri Selangor memandangkan mereka bukan lagi orang Islam setelah difatwakan sebagai kafir.   Oleh yang demikian "Segala perintah untuk tampil di Mahkamah Syariah untuk menghadapi pendakwaan juga dibatalkan", kata Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Vazeer Alam Mydin ketika membaca keputusan Mahkamah.


Kesan daripada keputusan Mahkamah Tinggi itu, jemaah Ahmadiyyah Qadiani bebas untuk menjalankan aktiviti solat Jumaat mereka di mana-mana kawasan ibadat mereka tanpa boleh dikacauganggu oleh JAIS.  


Berikutan daripada keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam tersebut, terdapat beberapa persoalan yang menerjah lubuk fikiran kami. 

1)     Adakah ini satu lagi insiden di mana Mahkamah Sivil mencampuri bidang kuasa Syariah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan?  

2)     Adakah Hakim Mahkamah Tinggi tersebut betul dalam keputusannya itu?

3)   Samaada JAIS akan berjaya di dalam rayuan yang mungkin akan dibuatnya?

4)    Apakah kesannya keputusan Mahkamah ini kepada umat Islam Malaysia secara umumnya?

5)     Haruskan jemaah Ahmadiyyah Qadiani ini dibenarkan untuk meneruskan  kegiatan mereka atau apakah tindakan yang boleh diambil untuk menyekat ajaran sesat ini daripada terus berjalan dan berkembang?.

Di dalam kes ini, tindakan kumpulan Ahmadiyyah Qadiani tersebut membuat permohonan semakan ke Mahkamah Tinggi Sivil telah menimbulkan persoalan samaada Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa bagi mendengar kes tersebut.   Sudah tentu dalam membicarakan isu bidangkuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, rujukan kepada peruntukkan di bawah Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan telah dibuat oleh peguamcara kedua belah pihak dan juga Mahkamah. 


Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa:

Mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) (iaitu Mahkamah Tinggi Sivil) tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Bidang kuasa Mahkamah Syariah yang telah diperuntukkan di dalam  Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan antara lainnya menyebut bahawa:
1. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan dikalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.

Secara ringkasnya, peruntukkan ini jelas antara lainnya menunjukkan bahawa:-



1)    Hukum Syarak hanya terpakai kepada orang Islam sahaja;



2)    Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam sahaja;



3)    Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa dalam membicarakan kesalahan pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang Islam.



Kerajaan Negeri Selangor dikatakan telah mengeluarkan fatwa pada tahun 1998 bahawa ajaran  Ahmadiyyah Qadiani adalah satu ajaran yang menyalahi dari ajaran Islam yang sebenarnya dan pengikut-pengikutnya adalah dihukumkan sebagai kafir.  Kami tidak menjumpai Fatwa kerajaan Negeri Selangor yang dikatakan telah dikeluarkan pada 22 Jun 1998, namun terdapat Fatwa berkaitan jemaah Ahmadiyyah yang telah diwartakan pada 24 September 1998 berkaitan perkara yang sama sebagaimana berikut:-


ENAKMEN PENTADBIRAN PERUNDANGAN ISLAM 1989 

FATWA TENTANG AJARAN AHMADIAH/QADIANI 

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 31(1) dan seksyen 32 Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, Mufti bagi Negeri Selangor, selepas berbincang dengan Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’, membuat fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.  


JADUAL 

1.        Ajaran Qadiani adalah satu ajaran yang menyalahi dari ajaran Islam yang sebenarnya. Pengikut-pengikut ajaran Qadiani ini telah dihukumkan kafir oleh Ulamak-ulamak Islam serata dunia. 
2.   Jabatan Agama Islam Selangor telah menghukumkan kafir kepada pengikut-pengikut Qadiani yang berpusat di Batu 20 Jeram, Kuala Selangor pada 15-12-1953 setelah mereka dibicarakan di Istana Kuala Lumpur di hadapan D.Y.M.M. Sultan Selangor serta beberapa orang Alim Ulamak di Negeri Selangor ini. Setiap orang yang telah menjadi penganut ajaran Qadiani adalah telah murtad-(keluar dari Agama Islam). Maka wajiblah dituntut mereka bertaubat kembali kepada Islam dengan mengikrar dua kalimah syahadat. 
3.           Antara ciri-ciri ajaran itu ialah :  
(a) Mirza Ghulan Ahmad mendakwa
(i) Sebagai Nabi yang menerima wahyu.
(ii) Imam Mahadi.
(iii) Isa Al Masih.
        (iv) Mempunyai mukjizat.
(v) Para Nabi menyaksikan dirinya.
(vi) Malaikat sebagai pancaindera tuhan.
(vii) Nabi Isa A.S. telah mati dan kuburnya di Srinagar.
4.     Orang-orang Islam dilarang menjual, mengedar, membeli, memiliki atau memberi ceramah tentang isi kandungan bukubuku berikut : 
(a) “Invitation To Ahmadiyah” yang dikarang oleh Hazrat Hj. Mirza Bashir-ud-din Ahmad (Khalifatul Masih II). 
(b) Penawar Racun Fitnah Terhadap Ahmadiyyah yang ditulis oleh Pengurus Besar Jema’at Ahmadiah. 
(c) Alam Sebagai Saksi yang dikarang oleh Mohamad Zain bin Hasan. 
(d) “The Holy Quran With English Translation And Commentary”(Vol II, Part I) yang dikarang oleh M. Mas’ud Ahmad. 
Walaupun pengikut ajaran Ahmadiyyah Qadiani tersebut pada asalnya Islam, masih mengakui bahawa mereka beragama Islam dan ada mempunyai kad pengenalan yang tertera perkataan Islam di dalamnya, namun dari segi undang-undang Negeri Selangor, mereka bukan lagi seorang Islam, tetapi sebaliknya adalah seorang kafir.   

Fatwa yang dikeluarkan oleh kerajaan Negeri Selangor tersebut adalah satu pengisytiharan yang mengikat dari segi undang-undang di semua Mahkamah di Negeri Selangor kerana ianya telahpun diwartakan di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam (Negeri Selangor) 1989. Laman Sesawang Jabatan Mufti Negeri Selangor


Oleh yang demikian, mengikut Perkara 121 (1A) dan Senarai 2, Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah dengan itu tidak mempunyai bidang kuasa dalam mengadili jemaah Ahmadiyyah Qadiani tersebut.  

Kami percaya dari segi undang-undang, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam tersebut adalah tidak salah atau terkhilaf dalam keputusannya itu. 

Kami juga percaya berdasarkan alasan-alasan yang sama, kemungkinan rayuan yang mungkin akan dibuat oleh pihak JAIS akan turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan.  

Apakah kesannya keputusan Mahkamah tersebut kepada umat Islam yang berpegang kepada Ahlul Sunnah wal Jamaah.  

Kami percaya bahawa walaupun dari segi perundangan keputusan itu adalah betul, namun dari segi agama Islam dan maqasid syariah itu sendiri, ianya membawa banyak kemudharatan.  Masyarakat Islam secara umumnya dan khususnya kepada mereka yang kurang/lemah pemahamannya terhadap ajaran Islam itu sendiri akan menjadi keliru mengapa jemaah Ahmadiyyah tersebut boleh difatwakan sesat dan kafir, sedangkan mereka juga berpegang kepada rukun Iman dan  menunaikan segala rukun Islam sebagaimana umat Islam yang lain. 

Bagaimana kita boleh mengenali mereka sedangkan mereka bersolat seperti kita, membaca Qur-an yang sama, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan haji seperti kita juga, malah berpakaian juga sama seperti kita.  Persoalan iktikad dan solat Jumaat tersebut mungkin akan jelas sekiranya dizahirkan atau terlihat oleh mata kepala, tetapi bagaimana sekiranya perkara tersebut tidak diperlihatkan sehinggalah berlakunya ikatan perkahwinan dan sebagainya. 

Malahan tidak mustahil suatu masa nanti umat Islam negara ini akan berpecah dan dilabelkan sebagai Muslim Orthodox dan Muslim baru dan sebagainya.
  
Selain dari itu, mungkin akan tambil lebih banyak golongan ajaran sesat yang secara terang-terangan memohon supaya difatwakan sebagai kafir.  Jika semua perkara tersebut berlaku, pastinya akan menjadi haru biru umat Islam di negara ini.   

Jadi, apakah langkah undang-undang yang boleh kita ambil untuk memperbetulkan kesilapan yang telah berlaku tersebut?. 

Kami percaya, satu-satunya jalan bagi memperbetulkan kesilapan yang telah dilakukan adalah dengan membuat pindaan terhadap Fatwa Kerajaan Negeri Selangor itu sendiri.   Fatwa yang diwartakan pada tahun 1998 dan pindaanya yang diwartakan pada tahun 2001 perlu dipinda bagi mengeluarkan perkataan kafir tersebut dan kesan dari deklarasi kafir itu. 


Dengan pindaan tersebut, JAIS akan mempunyai bidang kuasa dalam menangani isu ajaran sesat oleh jemaah Ahmadiyyah tersebut.  Sekiranya mereka masih melakukan solat Jumaat, maka pendakwaan boleh dibuat di atas kesalahan tersebut.  Tidak akan timbul soal "Double Jeopardy" memandangkan dakwaan dibuat berdasarkan pindaan terbaru kepada Fatwa dan bukannya berdasarkan perbuatan sebelum pindaan tersebut dilaksanakan.  

Tambahan lagi, mereka hanya disiasat untuk  pendakwaan bagi kesalahan mengerjakan solat Jumaat di tempat yang tidak diwartakan sahaja.  Pihak JAIS masih boleh menjalankan siasatan dan pendakwaan terhadap penyebaran doktrin di kalangan umat Islam oleh jemaah Ahmadiyyah Qadiani tersebut setelah pindaan terhadap kedua-dua fatwa itu dilaksanakan.  

Kami percaya dengan tindakan tersebut Maqasid Syariah untuk mewujudkan kebaikan menolak keburukan dan menghilangkan kemudharatan dapat dilaksanakan.  Selain itu kesedaran tentang kesesatan yang dibawa oleh fahaman Ahmadiyyah Qadiani tersebut perlu disebarkan kepada setiap umat Islam agar bahana yang cuba ditimpa boleh dielakkan, Insyaallah.