Bismillaahirrahmaanirrahiiim.
Assalaamualaikum w.b.t.
Ada beberapa tujuan mengapa kami membuat keputusan untuk membuat blog ini. Pertamanya, kami menyedari bahawa masih banyak perkara yang perlu dibuat oleh penggubal undang-undang bagi memantapkan lagi peruntukkan enakmen-enakmen, prosidur Mahkamah dan juga amalan peguam syarie.
Melalui blog ini kami berhasrat untuk memberikan buah fikiran dan pandangan peribadi kami berkenaan perkara-perkara yang perlu diteliti semula, dipinda, dibuang atau ditambah supaya beberapa kekeliruan undang-undang syarie yang sedia ada dapat diperkemaskan.
Keduanya, sebagai satu medan untuk kami membincangkan kaedah sebenar sesuatu pliding itu perlu dibuat atau dirangka supaya ianya nampak seragam dan kemas. Serta pemahaman tentang bagaimana sesuatu prosidur Mahkamah itu dilaksanakan sebagai panduan rakan peguam.
Ketiganya ia bertujuan untuk memberi kefahaman tentang undang-undang syarie yang diperuntukkan di dalam enakmen-enakmen itu sendiri samaada dari segi hukum feqahnya ataupun prosidur yang telah ditetapkan untuk pembacaan dan makluman pembaca blog ini secara amnya.
Dan keempatnya, kami juga akan menyentuh apa-apa isu berkaitan Islam dan perundangan bagi tujuan memberikan pandangan peribadi kami terhadap isu-isu yang berkaitan tersebut.
Namun sekali lagi kami ingin mengingatkan bahawa apa yang ditulis adalah pandangan peribadi kami selaku pengamal undang-undang syarie di Mahkamah Syariah. Tuan puan selaku pembaca berhak untuk bersetuju ataupun sebaliknya. Sekiranya tuan puan mempunyai buah fikiran atau pendapat yang berbeza, tuan puan dialu-alukan untuk mengemukakan komen tuan puan itu. Namun ianya perlu dibuat dengan berhemah dan berhikmah dengan tujuan untuk mencari penyelesaian yang baik dan bukan sebaliknya.
