Nusyuz; satu pembelaan yang dianggap paling popular bagi pihak suami atau bekas suami dalam menafikan tuntutan isterinya atau bekas isterinya untuk mendapatkan perintah nafkah dan/atau nafkah eddah.
Di dalam kitab Al-Fiqh Al-Manhaji, Nusyuz dari segi bahasa bermakna derhaka dan tidak taat. Dan dari segi istilah ditafsirkan sebagai perlakuan atau tindakan isteri yang menderhakai dan tidak mentaati suami sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah S.W.T.
Terdapat beberapa peruntukkan yang jelas di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Pahang) (EUUKIP) yang menyentuh isu nusyuz seperti Seksyen 60 dan Seksyen 66 Enakmen tersebut.
Seksyen 60. Kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi isteri dan efek nusyuz
(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.
(2)
Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri
tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak
berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain -
(a) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
(b) apabila dia meninggalkan rumah suaminya
bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau
(c) apabila
dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,
tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.
(3) Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan
menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi
menjadi nusyuz.
Seksyen 66. Hak terhadap nafkah atau pemberian selepas perceraian
(1) Hak bagi seseorang isteri
yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu di
bawah sesuatu perintah Mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh ‘iddah
atau apabila isteri menjadi nusyuz.
(2) Hak
isteri yang diceraikan untuk menerima pemberian daripada bekas suaminya di
bawah sesuatu perjanjian hendaklah terhenti di atas perkahwinan semula isteri
itu.
Seksyen 60 EUUKIP itu memberikan beberapa bentuk perlakuan isteri yang disifatkan sebagai perbuatan nusyuz. Terdapat banyak lagi perlakuan isteri yang boleh dianggap sebagai nusyuz contohnya enggan menutup aurat atau menjalankan kewajipan agama apabila diminta berbuat demikian, menzalimi dan memaki hamun suaminya, bergaul dan berkawan dengan lelaki lain tanpa pengetahuan dan/atau izin suaminya dan lain-lain lagi.
Pendek kata sekiranya seorang isteri itu melakukan sesuatu tindakan yang bertentangan dengan perintah suaminya yang tidak bersalahan dengan hukum Syarak atau dia enggan melaksanakan suruhan suaminya sedangkan suruhan itu tidak bersalahan dari segi hukum syarak, maka ketidaktaatan itu disifatkan sebagai satu perbuatan nusyuz.
Manakala Seksyen 66 EUUKIP pula menjelaskan bahawa seseorang isteri yang diceraikan berhak untuk menuntut nafkah eddah yang tidak diberikan oleh bekas suaminya sepanjang tempoh beliau bereddah samaada tempoh eddah itu selama tiga kali suci dari haid ataupun sehingga si isteri yang diceraikan sewaktu menggandung, melahirkan anak yang dikandungkannya itu.
Satu-satunya justifikasi yang boleh diberikan oleh sang suami di atas kegagalan dan keengganannya untuk memberikan nafkah dalam tempoh perkahwinan tersebut, termasuk dalam tempoh isterinya itu bereddah adalah kerana isterinya telah melakukan perubatan nusyuz.
Persoalannya ialah; bagaimana untuk membuktikan kepada Mahkamah bahawa seseorang isteri itu telah melakukan nusyuz terhadap suaminya.
Terdapat beberapa cara untuk mendapatkan sabitan nusyuz di Mahkamah. Salah satunya ialah membuat permohonan taat balik dan deklarasi nusyuz sekiranya isteri gagal berbuat demikian. Dalam prosiding ini, tuntutan taat balik itu dijadikan sebagai Saman induk dan deklarasi nusyuz itu sebagai tuntutan lanjutan daripada tuntutan induk itu.
Ini kerana tuntutan bagi sabitan nusyuz itu hanya boleh dibuat selepas Saman induk difailkan tetapi ia sendiri tidak boleh dijadikan sebagai Saman induk.
Arahan Amalan No. 11 Tahun 2011 yang menyatakan bahawa:
"....... . Kes ini hendaklah didengar dalam kes induk dan
tidak perlu dibuat berasingan. Mana-mana kes Nusyuz yang telah diputuskan
sebelum daripada permohonan cerai, tidak boleh dibuka semula dalam kes
permohonan cerai tersebut. ......"
Satu lagi caranya ialah ianya difailkan setelah si isteri memfailkan Saman bagi tuntuan cerai atau nafkah atau nafkah eddah. Namun ianya tidak boleh dijadikan sebagai satu pembelaan terhadap tuntutan cerai, nafkah atau nafkah eddah tersebut.
Ini menjadikan wujudnya dua prosiding yang berbeza iaitu Saman dari pihak isteri untuk tuntutan perceraian, nafkah atau nafkah eddah dan Saman dari pihak suami untuk pengisytiharan nusyuz.
Kedua-dua kes ini akan didengar secara serentak oleh Mahkamah kerana ianya melibatkan pihak-pihak yang sama dan fakta-fakta yang berkaitan dengan pihak-pihak yang sama juga.
Namun, Mahkamah perlu membuat keputusan berkaitan tuntutan pengisytiharan nusyuz tersebut terlebih dahulu sebelum memberikan penghakiman terhadap tuntutan di dalam Saman induk oleh si isteri.
Sekiranya, Mahkamah memutuskan bahawa si isteri atau bekas isteri itu telah melakukan perbuatan nusyuz sewaktu dalam perkahwinan, maka si isteri itu tidak akan berjaya menuntut nafkah atau nafkah eddah, tetapi dia masih boleh berjaya dalam tuntutan cerainya itu.
Sekiranya pihak suami hanya membangkitkan isu nusyuz si isteri didalam Penyataan Pembelaan samaada terhadap tuntutan cerai atau nafkah atau nafkah eddah, tanpa mendapatkan Penghakiman Mahkamah berkaitan perbuatan nusyuz tersebut terlebih dahulu, Mahkamah boleh menolak dakwaan nusyuz tersebut, walaupun pihak suami membawa beberapa orang saksi bagi menyokong dakwaannya berkaitan perbuatan nusyuz isterinya itu.
Ini membuktikan pentingnya pengisytiharan nusyuz itu diperolehi daripada Mahkamah, sebagai justifikasi untuk menafikan hak isteri itu bagi mendapatkan Perintah Nafkah atau Nafkah Eddah.
Namun bagaimana pula sekiranya pihak isteri membuat Pembelaan menyatakan bahawa beliau telah bertaubat dan kembali mentaati suaminya.
Sub-seksyen (3) kepada Seksyen 60 EUUKIP menyatakan bahawa :
(3) Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan
menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi
menjadi nusyuz.
Bolehkah Mahkamah menerima perakuan taubat dan taat itu bagi menolak tuntutan nusyuz si suami?.
Sekiranya pihak isteri menyatakan di dalam Pembelaannya bahawa beliau telah bertaubat dan ingin mentaati perintah suaminya, maka pihak suami seharusnya memohon satu penggantungan atau penangguhan prosiding Nusyuz tersebut bagi memberikan ruang dan peluang untuk si isteri membuktikan kata-katanya itu.
Sekiranya ternyata si isteri itu telah kembali mentaati suaminya, maka pihak suami perlu menarik balik tuntutan nusyuznya itu dengan kebebasan untuk memfailkan semula.
Sekiranya si suami gagal untuk menarik balik tuntutannya selepas itu, atau enggan memberikan peluang dan kerjasama bagi membolehkan si isteri membuktikan keikhlasannya itu, maka ketidakwajaran tindakan suami tersebut boleh dikemukakan kepada Mahkamah bagi membatalkan tuntutan suami tersebut,
Dengan itu Mahkamah akan menggunakan proviso di bawah Seksyen 60(3) EUUKIP itu bagi menolak tuntutan suami untuk mengisytiharkan isterinya sebagai seorang yang nusyuz.
Sekian, wassalaam.